Heboh di media sosial yang mahu melihat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dipotong mata dan dilucutkan kejuaraan Piala Sumbangsih dan Piala FA selepas keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak menyebelahi pemain-pemain warisan kebangsaan.
Masing-masing berkokok, melalak bagai tiada esok dengan semua dilihat mahu menggagalkan kejayaan Harimau Selatan secara teknikal kerana tidak berjaya melakukannya secara taktikal di dalam padang.

Jari jemari semua ditudingkan kepada pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor seolah-olah meletakkan semua kesalahan keatas Baginda atas keputusan yang dikeluarkan mahkamah yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland itu.
Namun ramai yang menyembunyikan fakta utama iaitu kesemua tujuh pemain warisan itu adalah warganegara Malaysia yang sah mengikut peruntukan Perlembagaan Negara dan ianya diakui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Jika pemain ini disahkan sebagai warganegara, siapa kita hendak mempertikaikan keputusan ini. Oleh itu mereka berhak bermain sebagai pemain tempatan mewakili mana-mana kelab yang bermain dalam Liga Super Malaysia.

Mereka yang bising-bising mahukan mata dipotong dan kejuaraan ditarik balik ini hanya meletakkan fokus mereka kepada pasukan JDT sahaja kerana Harimau Selatan membariskan tiga pemain dan tidak ada yang berbunyi pun mengenai kesahihan seorang lagi pemain warisan yang menyarung jersi sebuah kelab di Borneo. Pelik bukan.
Sekarang jelas bahawa pemain-pemain ini hanya tidak dibenarkan bermain bersama pasukan kebangsaan tetapi dibenarkan berlatih bersama kelab sehingga tempoh penggantungan berakhir.
Terang-terangan ia tidak bertentangan dengan polisi Malaysian Football League (MFL) yang menerima empat pemain warisan ini yang didaftarkan sebagai pemain tempatan mengikut undang-undang negara.

Keputusan yang dikeluarkan oleh CAS memang perit untuk diterima tetapi itu bukan bermakna kita perlu menjadi batu api untuk menjatuhkan JDT dengan cara permainan persepsi yang tidak berfakta dan palsu.
Tuding jari memang mudah kerana ia melepaskan kita dari tanggungjawab tetapi untuk menang kejuaraan secara percuma, boleh teruskan bermimpilah.
JDT adalah pasukan yang bersaing mengikut undang-undang dan membawa nama negara ke pentas Asia, mana mungkin terlalu naif untuk menggagalkan usaha yang bertahun lama membina empayar dan legasi.
Sekali lagi, gunakan data dan fakta bukannya emosi ketika berbicara. Jangan menang sorak, kampung tergadai kerana satu jari menuding, empat jari kembali kepada diri sendiri. Jadi, fikir-fikirkanlah. Luaskan Kuasamu Johor.
