HARGAINYA SEBELUM SEMUANYA TERLAMBAT JDT KU!

Pusat latihan baharu ini merupakan sumbangan terakhir saya buat JDTFC —19 Mei 2026, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, JDT, dan Bangsa Johor. Tiga entiti ini merupakan satu simbiosis yang saling berpautan, membentuk sebuah dahan hegemoni yang tidak boleh dipisahkan.

Dalam trajektori tempoh 13 tahun kebelakangan ini, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail telah merestrukturisasi dan mengubah status bola sepak Negeri Johor daripada tiada apa-apa menjadi sebuah empayar yang digeruni di peringkat domestik dan antarabangsa.

Rekod demi rekod dipecahkan, di dalam mahupun di luar padang. Namun, di sebalik limpahan piala dan kemewahan fasiliti yang dinikmati hari ini, ada satu hakikat pahit yang perlu ditelan oleh seluruh penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), iaitu kita sedang mendepani krisis apresiasi atau penghargaan.

 

Kejayaan demi kejayaan yang datang mencurah-curah saban tahun nampaknya telah melahirkan satu acuan psikologi penyokong yang ‘manja’ dan komplisen.

Sikap ‘selalu menang’ ini perlahan-lahan mengsubversifkan pemikiran kita, Sikap selalu menang ini perlahan-lahan membuatkan ramai antara kita lupa betapa sukarnya jalan yang telah diterokai untuk sampai ke tahap ini. Kita mula mengambil mudah setiap titisan keringat, masa, dan pelaburan besar yang telah dicurahkan baginda untuk kelab ini.

Bayangkan, hampir RM40 juta wang peribadi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail telah dileburkan demi membina sebuah identiti. Ia bukan hanya tentang sebuah kelab bola sepak, tetapi sebuah institusi sosio-budaya yang mencerminkan maruah, aspirasi anak muda, dan integrasi mutlak Bangsa Johor.

Hasilnya? Nama Johor hari ini meledak sebagai satu jenama global yang meniti di bibir masyarakat antarabangsa.

Retorik Sokongan yang Kian Lompong”

Tetapi, apakah respons kita sebagai penyokong?

Kehadiran ke stadium yang semakin hambar dan gaya sosiologi sokongan yang pasif adalah satu isyarat rencat yang amat menyedihkan. Ketika berdiri di barisan hadapan mendepani segala kecaman, kutukan, dan iri hati dari luar demi mempertahankan nama JDT dan Negeri Johor, baginda menoleh ke belakang mencari solidariti institusi penyokongnya. Namun, apa yang kelihatan hanyalah sebuah barisan yang lompong, longgar, dan rapuh.

Di mana hilangnya ‘Keluarga JDT’ yang dahulunya berikrar untuk setia bersama dalam setiap badai dan krisis?

Sikap apatis dan kurangnya sokongan padu daripada bangsa sendiri adalah satu tamparan hebat kepada sebuah pengorbanan yang tidak menuntut balasan wang ringgit, melainkan kebersamaan.

Sifat leka ini amat berbahaya. Jangan sampai apabila sauh sudah diangkat dan nakhoda memilih untuk melangkah pergi, barulah kita terpinga-pinga dalam regresi meratapi sebuah kehilangan.

Legasi yang Tiada Galang Ganti”

Ingatlah,

Runtuhnya sesebuah empayar bukanlah disebabkan oleh keampuhan asakan musuh dari luar, tetapi berpunca daripada kerapuhan kesetiaan dan hilangnya rasa syukur daripada entiti di dalam.

JDT adalah acuan visi seorang pemimpin yang tiada galang gantinya. Tanpa figura ini, tiada lagi malam-malam penuh magis di Stadium Sultan Ibrahim, dan tiada lagi jenama mega yang boleh kita banggakan sebagai Bangsa Johor.

Sudah tiba masanya untuk setiap penyokong JDT sedar dari lencongan zon selesa ini. Penuhkan semula stadium di masa hadapa, zahirkan sokongan tanpa berbelah bahagi, dan tunjukkan kepada dunia bahawa kita menghargai setiap penat lelah yang telah dicurahkan.

Akhir kalam, jangan biarkan pengunduran seorang pejuang sejati menjadi titik mula kepada dekadensi empayar kebanggaan kita ini. Segeralah sedar sebelum segalanya terlambat.

Percayalah, titah baginda mengenai “sumbangan terakhir” itu adalah satu isyarat yang kritikal.

Muafakat Itu Berkat. Selamanya Johor Darul Ta’zim. Allah Peliharakan Sultan!