Satu demi satu rekod dan sejarah bola sepak Malaysia, Asia dan dunia kini menjadi milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak ditubuhkan pada tahun 2013.
Sebut sahaja rekod apa, baik dari segi kejuaraan, jumlah piala, jaringan gol, kekebalan benteng hingga kehadiran penyokong semuanya akan terpahat nama sang Harimau Selatan.

Siapa sangka siapa menduga, JDT kini menyamai rekod dunia tanpa kalah 108 perlawanan dalam liga yang sebelum ini dipegang kelab Ivory Coast, ASEC Mimosa lebih tiga dekad yang lalu.
Melihat jaringan 1-14 di papan skor juga adalah satu rekod baharu Liga Super Malaysia. Berbanggalah buat para penyokong yang setia ke stadium kerana anda menjadi sebahagian daripada rekod dan sejarah ini.

Penyerang kegemaran kita, Bergson semakin hampir mendapatkan kasut emas selepas meledak ‘double hattrick’ untuk mengumpul 27 gol dalam liga dan 41 gol secara keseluruhan musim ini.
Harimau Selatan juga tanpa kalah dalam liga buat musim keempat berturut-turut sejak 2023 dan kali keenam melakukannya termasuk musim 2016 dan 2020.

Untuk melakukannya sekali telah dianggap luar biasa namun untuk melakukannya empat kali berturut-turut ianya menuntut satu mentaliti raksasa pada setiap pemain meskipun ketua jurulatih berganti.
Kesemua piala domestik bakal menjadi milik kita jika kita memenangi Piala Malaysia pada 23 Mei nanti dan melihat kepada gaya, JDT tidak mempunyai masalah untuk mendominasi sekali lagi.

Mungkin ada yang muak namun ingatlah, pencapaian dan kejayaan kita ini sebenarnya menjadi impian setiap penyokong pasukan lain. Cuba tanya pada penyokong lain apa perasaan mereka jika berjaya memenangi piala. Segala-galanya akan diberikan oleh mereka untuk memang sekurang-kurangnya satu piala.
Perkara inilah yang perlu kita pertahankan. Kekal berada di belakang pasukan dan bukannya terikut-ikut rentak lawan yang mahu menyaksikan kita jatuh dengan apa jua cara sekalipun.
Ingat, kita adalah Johor Darul Ta’zim. Si pencipta rekod dan sejarah. Terus berbangga dengan kejayaan ini kerana ianya bukan mengenai piala sahaja tetapi ianya tentang perjalanan rasa seorang penyokong yang cintakan kelab kesayangan.

Tahniah dan terima kasih buat pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor kerana telah memberikan rasa bangga ini kepada para penyokong.
Kejayaan ini tidak mengeyangkan sang Harimau Selatan sebaliknya ia terus lapar untuk mencipta lebih banyak kejayaan dan melakar rekod dan sejarah baharu buat kelab. Ingat semua, ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.
