Dalam landskap bola sepak Malaysia, setiap perubahan besar hampir pasti akan datang bersama pelbagai reaksi. Ada yang menyokong, ada yang memerhati dengan terbuka dan tidak kurang juga yang memilih untuk terus bersentimen. Bagi Johor Darul Ta’zim (JDT), semua itu bukan sesuatu yang asing.
Sejak projek transformasi bola sepak Johor dimulakan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor lebih sedekad lalu, pelbagai persepsi dan naratif sering dimainkan. Antara yang paling kerap dibangkitkan ialah sentimen ‘anak jati’. Setiap kali kejayaan dicapai, setiap kali standard dinaikkan, pasti ada suara yang cuba mengalihkan perbincangan kepada perkara tersebut dan tuduhan-tuduhan lain.

Hakikatnya, sesiapa pun bebas untuk mempunyai pandangan. Jika ada yang mahu terus memainkan sentimen dan naratif, itu pilihan mereka. Jika ada yang mahu terus mempersoalkan setiap langkah yang diambil, itu juga hak mereka.
Namun di JDT, fokus kami tidak pernah berubah.
Ketika pihak lain sibuk dengan perdebatan di media sosial, kami memilih untuk terus bekerja. Projek pembangunan bola sepak Johor bukanlah sesuatu yang dibina dalam sehari. Ia melibatkan pelaburan besar dalam fasiliti, pembangunan bakat muda, struktur pengurusan profesional serta usaha berterusan untuk memastikan kelab ini mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Semua ini dilakukan dengan satu matlamat iaitu untuk meletakkan bola sepak tempatan pada standard yang lebih tinggi.
Ironinya, perkara yang sering dipertikaikan hari ini sebenarnya pernah kami suarakan sejak dahulu lagi. Kami sudah lama berpesan kepada banyak pihak dalam bola sepak tempatan, gunakan apa yang dilakukan di JDT ini sebagai contoh untuk menaikkan standard pasukan masing-masing. Tegurlah pengurusan pasukan anda sendiri jika ada perkara yang boleh diperbaiki. Jadikan kejayaan orang lain sebagai motivasi untuk melakukan yang lebih baik.

Namun realitinya, ramai yang lebih gemar mendengar suara kawan-kawan yang hanya memekak di media sosial. Lebih mudah untuk menyalahkan orang lain daripada memperbaiki struktur sendiri. Lebih selesa bermain sentimen daripada bercakap tentang pembangunan sebenar.
Jika itu masih menjadi pilihan mereka, silakan.
Di Johor Darul Ta’zim, kami tidak akan berhenti hanya kerana bunyi bising di luar. Kerja besar selalunya tidak berlaku di hadapan kamera atau di ruang komen media sosial. Sebahagian besar usaha dilakukan secara senyap-senyap dalam bilik mesyuarat, di padang latihan, di akademi pembangunan pemain dan dalam perancangan jangka panjang yang mungkin tidak dilihat oleh orang ramai.
Tetapi hasilnya akan sentiasa muncul di atas padang.
Kejayaan kami di peringkat domestik, kemajuan dalam pertandingan Asia dan peningkatan profesionalisme dalam pengurusan kelab adalah bukti bahawa usaha yang konsisten akhirnya akan membuahkan hasil.

Bagi Johor Darul Ta’zim, matlamatnya tidak pernah sekadar untuk memenangi trofi. Lebih besar daripada itu. Kami mahu menunjukkan bahawa bola sepak Malaysia boleh berkembang jika diurus secara profesional, berani membuat perubahan dan tidak takut untuk meletakkan standard yang tinggi.
Yang paling penting, semua usaha ini dilakukan untuk penyokong bola sepak Malaysia.
Penyokong yang datang ke stadium walaupun hujan dan panas. Penyokong yang tetap berdiri di belakang pasukan tidak kira apa pun cabaran. Mereka berhak melihat bola sepak tempatan berkembang. Berhak menyaksikan pasukan Malaysia bersaing dengan lebih baik di peringkat Asia.
Jadi jika masih ada yang mahu terus memainkan sentimen, teruskanlah. Jika ada yang mahu terus melalak di media sosial, itu hak mereka. Teruskan.

Tetapi sementara semua itu berlaku, Johor Darul Ta’zim FC akan terus berjalan ke hadapan.
Kerana ketika orang lain masih sibuk bercakap, kami memilih untuk bekerja.
Ketika perdebatan masih berlarutan, projek kami ini akan terus bergerak. Selangkah demi selangkah menuju masa depan bola sepak kita yang lebih besar.
Luaskan Kuasamu Johor!
