Dalam evolusi bola sepak moden, sukan ini sering berkembang sebagai sebuah industri yang didorong oleh faktor komersial, penajaan dan nilai ekonomi. Namun di Negeri Johor, pendekatan yang diambil oleh organisasi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memperlihatkan dimensi yang lebih humanistik, iaitu menjadikan bola sepak sebagai medium integrasi sosial dan manifestasi kebersamaan ras, bangsa dan agama.
Fenomena ini dapat diperhatikan khususnya sepanjang bulan Ramadan di Stadium Sultan Ibrahim, yang berfungsi melangkaui definisi tradisional sebuah stadium sukan. Dalam konteks aksi pertama pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite 2025/26 (ACLE), stadium avant-garde ini bukan sahaja menjadi arena kompetitif tetapi juga ruang sosial yang menggabungkan elemen sukan, budaya dan nilai spiritual.

Inisiatif penyediaan juadah berbuka puasa secara percuma merupakan cetusan idea pemilik kelab, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Kepelbagaian makanan yang disediakan merangkumi hidangan segera seperti KFC, Woodfire dan Subway, selain sajian tradisional tempatan seperti nasi briyani, mee kawah, nasi goreng kawah dan bubur lambuk.
Selain hidangan utama, penyokong turut disediakan buah-buahan, kurma, air balang, air kotak dan air mineral bagi melengkapkan pengalaman berbuka puasa sebelum sepak mula. Dengan harga tiket serendah RM10 bagi perlawanan ACLE, nilai pengalaman yang ditawarkan melangkaui fungsi stadium sebagai tempat menyaksikan perlawanan, sebaliknya mengangkatnya sebagai ruang sosial yang menghubungkan komuniti.

Kemeriahan hari perlawanan turut dimeriahkan melalui penganjuran cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik sebagai bentuk penghargaan kepada penyokong yang hadir. Program seumpama ini memperlihatkan usaha pengukuhan hubungan antara kelab dan penyokong, sekali gus meningkatkan keterlibatan emosi dalam ranting-ranting keluarga JDT.

Akhirnya, visi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail dan organisasi JDT menunjukkan bahawa bola sepak tidak wajar terpisah jauh daripada rakyat.
Sukan ini perlu terus kekal sebagai jambatan sosial yang meraikan komuniti, tradisi dan semangat kebersamaan lantas kembali kepada hakikat asasnya iaitu;
“Bola Sepak Adalah Milik Rakyat!”.
