PENYERTAAN DI ACL JADIKAN JDT PASUKAN YANG LEBIH BAGUS

Pada suatu masa dahulu ketika pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berkata impian baginda mahu menyaksikan JDT bersaing di pentas Asia, ramai yang skeptikal dengan idea Baginda.

Tahun 2015 menyaksikan JDT bersaing buat kali pertama di kejohanan Piala AFC dan bukan sahaja melakukan debut tetapi terus menjuarai kejohanan kedua kelab Asia ini. Siapa menyangka kelab kerdil dari Selatan ini kini menempa sejarah sebagai kelab Asia Timur pertama yang menjadi juara.

Bermula dari saat itu, banyak mata pemerhati bola sepak Asia mula membuka mata kepada JDT. Dengan fasiliti dan stadium kelas dunia, JDT tidak betah untuk bersaing malah meneruskan kecemerlangan hingga layak ke separuh akhir pula pada 2016.

TMJ mula mengorak langkah dengan mensasarkan JDT untuk bertanding di Liga Juara-Juara AFC (ACL) — peringkat tertinggi kelab Asia. JDT sudah bersedia untuk berlaga bahu bersama kelab handalan dari Jepun, Korea, China dan juga Australia.

Pada ketika itu juga banyak suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa JDT pasti menjadi pasukan belasahan di ACL tetapi berbeza pula pendapat baginda yang menyatakan JDT tidak rugi apa-apa pun sebaliknya akan menaikkan taraf permainan JDT di liga tempatan.

Tahun 2019 menyaksikan sejarah tercipta apabila JDT berjaya layak secara automatik ke peringkat kumpulan ACL selepas beberapa kali terkandas di peringkat kelayakan kepada kelab Thailand dan Jepun.

 

Untuk tahun 2019, JDT telah mempersiapkan pasukan bagi menghadapi cabaran ACL dengan membawa masuk pemain luar negara yang mempunyai pengalaman bermain di Liga Juara-Juara Eropah dan juga ACL. Namun begitu, bakat pemain tempatan tidak dilupakan ketika dalam pembinaan pasukan.

Tahun pertama JDT di ACL sekali lagi berjaya membuka mata pemerhati luar apabila JDT bukan sahaja memberi tentangan sengit tetapi berjaya melakar kemenangan sulung dalam kempen ACL. Apa yang lebih manis kemenangan itu berlaku ke atas juara bertahan ketika itu, Kashima Antlers di Stadium Larkin.

Menambah kegembiraan JDT apabila jaringan Safawi Rasid ketika menentang wakil China, Shandong Luneng telah dipilih sebagai pemenang Gol Terbaik Sedekad ACL sekaligus memberikan Safawi tiket penghijrahan ke Liga Portugal.

Akibat dari persediaan pasukan yang rapi untuk menghadapi ACL, JDT telah muncul pasukan yang berbeza standard dan kelasnya di liga tempatan. Semua perlawanan ditempuh dengan baik dan berjaya mencatatkan jumlah jaringan yang besar terhadap lawan yang dahulunya dikira sebagai pesaing terdekat.

Inilah sebab utama mengapa TMJ sering menegaskan tentang kepentingan beraksi di pentas Asia. Kini semua pasukan sudah mula nampak hasil yang diterjemahkan oleh JDT. Semua pasukan kini menukar sasaran dari memenangi satu piala kepada kami mahu layak ke Asia.

Banyak faedah yang boleh diperolehi dengan penyertaan di Asia. Bukan sahaja mendapat lebih perhatian dari dunia bolasepak malah memperoleh wang yang banyak dan yang paling penting dapat membantu menaikkan taraf bola sepak tempatan. Fikir-fikirkanlah.

Luaskan Kuasamu Johor.

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*