LAPAN TERBAIK ASIA, RUMAH BUAT JUARA DUNIA, JUARA DI LITAR ASIA – INI JOHOR DARUL TA’ZIM

Apabila kita menyebut jenama Johor Darul Ta’zim, secara automatik perkara pertama yang muncul di fikiran adalah sukan dan kejayaan. Dua perkara yang sangat sinonim dengan sang Harimau Selatan.

Dalam bola sepak, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini adalah lapan pasukan terbaik di Asia dan bakal bertemu juara bertahan Liga Juara-Juara AFC Elite, Al Ahli Saudi pada peringkat suku akhir di Jeddah, Arab Saudi.

Jika dilihat diatas kertas dan penyata kewangan, jelas JDT tertinggal jauh dalam semua segi namun semangat yang ada pada setiap pemain Harimau Selatan akan memastikan satu pertarungan sengit tatkala JDT mencipta sejarah demi sejarah tersendiri.

Tidak terhenti dalam bola sepak, skuad bola jaring, Johor Jewels juga semakin mendapat perhatian dunia apabila berjaya mendapatkan khidmat juara dunia dari New Zealand, Laura Langman dan juara Sukan Komanwel dari Australia, Gretel Bueta.

Kehadiran dua pemain ini meningkatkan nilai komersil skuad serta Netball Super League (NSL) dengan ramai penyokong teruja untuk menyaksikan bintang dunia beraksi di tanah air.

Visi dan misi yang jelas dari pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor dan isterinya, YAM Che’ Puan Besar Khaleeda pastinya menarik pemain-pemain bintang untuk menyertai Johor Jewels dan terbukti sudah pun memenangi Preseason NSL 2026.

Seakan-akan tidak boleh berhenti, jenama JDT terus meluncur laju di litar lumba dengan pasukan JDT Racing Team mendominasi pusingan pertama Asia Road Racing Championship 2026 di Litar Antarabangsa Sepang Petronas.

Pelumba sensasi yang diberikan peluang semula dalam dunia permotoran, Hafizh Syahrin Abdullah membuktikan dia berada pada kelas tersendiri di Sepang dengan menakluk kedua-dua perlumbaan dengan tunggangan berkelas dunia.

Jika dilihat, kesemua pasukan yang membawa nama JDT mempunyai satu persamaan iaitu ‘winning mentality’ pada setiap kesempatan yang ada.

Tiada erti putus asa pada setiap pemain dan individu yang terlibat dengan misi mereka hanya mahu memastikan jenama JDT kekal teratas dan menjadi bualan dunia.

Sebagai penyokong, kita perlu meneruskan sokongan tanpa mengira apa yang dikatakan oleh orang luar. Kejayaan ini adalah milik kita bersama dan jagalah jenama ini dengan penuh rasa bangga.

Kita telah buktikan, ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.