Pada hujung tahun 2012, satu revolusi bermula dalam bola sepak Malaysia. Di bawah kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail -Pemangku Sultan Johor, JDT bukan sekadar menyertai liga tetapi mereka datang dengan visi untuk mengubah landskap keseluruhan.
Apa yang dulu dianggap sebelum ini mustahil, hari ini menjadi penanda aras.
Dari Serba Kekurangan ke Standard Antarabangsa
Dahulu, keadaan stadium, padang dan pusat latihan jauh daripada ideal. Tetapi TMJ melihat kekurangan itu sebagai peluang. Sedikit demi sedikit, semuanya diubah bukan sekadar untuk cantik tetapi untuk prestasi.

Hari ini, fasiliti JDT berdiri setanding kelab-kelab profesional antarabangsa. Ia bukan berlaku semalaman tetapi ianya hasil konsistensi dan keberanian membuat keputusan.
Formula TMJ: Lihat, Dengar & Laksanakan
Kejayaan JDT bukan kebetulan. Ia dibina atas pendekatan yang jelas:
Lihat -Mengkaji kelemahan sendiri tanpa ego.
Dengar – Terima pandangan semua pihak:
• Penyokong sendiri
• Pengkritik & “haters”
• Profesional dalam industri dalam dan luar negara.
Laksanakan — Bertindak:
• Cari dana
• Gunakan pengaruh
• Bina kolaborasi strategik
Bukan sekadar bercakap tetapi TMJ buat.
Bukan Untuk JDT Sahaja — Untuk Semua
Satu perkara yang sering dilupakan. Peranan TMJ bukan hanya mengangkat JDT tetapi turut membuka jalan untuk pasukan lain.
Melalui usaha dan pengaruh, TMJ membantu:
• Mendapatkan dana dan sokongan komersial untuk liga
• Memperjuangkan hak (rights) yang lebih baik untuk pasukan bertanding
• Meningkatkan nilai dan pendedahan bola sepak tempatan
Ini bukan sekadar pembangunan satu kelab tetapi ini satu usaha menaikkan ekosistem bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
Persoalan Besar: Kenapa Sukar Sangat Nak Ikut?
Selama lebih 10 tahun, JDT telah menunjukkan jalan. Memberi contoh. Membuka peluang untuk liga berkembang bersama.
Namun persoalannya masih sama, kenapa masih ramai yang gagal mengikuti? Adakah masalah sumber? Atau sekadar mentaliti yang belum berubah?
Isu Penyokong Lari – Jangan Mudah Menuding Jari
Ada yang kata penyokong semakin berkurang. Tetapi realitinya tidak semudah itu.
Di pentas Asia seperti ACLE, Stadium Sultan Ibrahim hampir sentiasa penuh. Kini bila bertemu pasukan kuat seperti Selangor FC, suasana kembali hidup kerana ada persaingan sebenar tidak kira di atas padang atau semangat penyokong di luar padang.

Hakikatnya, penyokong mahukan perlawanan yang kompetitif dan bukan sekadar keputusan yang boleh dijangka.
Bila Tak Kompetitif, Siapa Patut Dipersalahkan?
Apabila perlawanan menjadi berat sebelah, mudah untuk jari dituding kepada JDT. Tetapi soalnya, adakah salah pasukan yang sudah bersedia atau yang masih tertinggal?
JDT tidak boleh memperlahankan diri hanya untuk “seimbangkan” liga.
Dilema Pemain Import & Realiti Asia
JDT sendiri tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada pemain import. JDT satu-satunya kelab tempatan yang paling sempurna serta professional menjaga pemain muda dan pelapis. Tetapi realiti bola sepak Asia tidak boleh diabaikan.
Berhadapan kelab dari Jepun, Korea, dan Timur Tengah tanpa kualiti mencukupi, kita akan terus jadi mangsa.

Ironinya bila kalah, JDT dikritik dan bila menang kita semua bangga sebagai rakyat Malaysia.
Jadi sebenarnya, kita mahu apa?
Adakah bolasepak ini perlu diserahkan kembali kepada pengurusan takuk lama?
Mungkin tidak. Sekian.
