Tewas menentang Sanfrecce Hiroshima , Johor Darul Ta’zim FC (JDT) tidak mempunyai sebarang sebab untuk berasa malu dengan keputusan tersebut.
Beraksi hampir keseluruhan perlawanan dengan kekurangan seorang pemain di atas padang, JDT tetap memperagakan semangat juang, disiplin serta tahap profesionalisme yang tinggi dalam menghadapi lawan berkualiti.

Perlu ditegaskan bahawa tugas untuk menewaskan Sanfrecce Hiroshima bukanlah sesuatu yang mudah. Kelab gergasi dari Jepun itu bukan sahaja memiliki reputasi besar di peringkat domestik, malah kini mereka berada di antara lima kelab terbaik di Asia, hasil struktur pasukan yang mantap, pengalaman luas di kejohanan antarabangsa serta kualiti pemain yang konsisten di tahap tertinggi.
Dalam konteks ini, persembahan JDT jelas mencerminkan kematangan dan keberanian untuk bersaing di pentas elit benua Asia.
Kekalahan tersebut seharusnya dilihat sebagai satu proses pembelajaran yang bernilai, bukannya kegagalan. JDT telah membuktikan bahawa mereka mampu memberikan tentangan walaupun berada dalam situasi sukar, sekali gus menunjukkan kelab kerdil dari Selatan Malaysia ini mampu memberi cabaran di mata Asia.

Pengalaman berdepan pasukan bertaraf tinggi seperti ini amat penting dalam membina mentaliti, taktikal serta ketahanan pasukan untuk jangka panjang.
Selepas ini, cabaran JDT diteruskan apabila mereka dijadualkan bertemu Vissel Kobe pula di SSI pada hari Swlasa 17 Februari ini. Perlawanan tersebut dijangka menjadi satu lagi ujian berat, memandangkan Vissel Kobe terkenal dengan corak permainan berintensiti tinggi, organisasi pasukan yang kemas serta barisan pemain berpengalaman di peringkat tertinggi.

Perjalanan ini mungkin berliku, namun misi JDT jelas mahu terus membawa cabaran nama Malaysia dengan penuh maruah, keberanian dan keyakinan bahawa tiada perkara yang mustahil di pentas Asia.
Ayuh semua penyokong JDT, kita sama sama memberi motivasi dan semangat kepada JDT pada perlawanan menentang Vissel Kobe dengan hadir ke Stadium Sultan Ibrahim nanti.
