JDT – JADILAH BAK MATAHARI, TETAP BERSINAR MESKI SENDIRI

Perjuangan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang diterajui pemilik, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor untuk mengangkat imej bola sepak tempatan ke tahap yang lebih tinggi sering dipandang enteng oleh pelbagai pihak.

Ramai yang sudah selesa dan susah menerima perubahan yang dilakukan JDT sesuai dengan konsep bola sepak moden yang dituntut ketika ini.

Ketika Harimau Selatan sudah meletakkan sasaran utama kelab untuk muncul juara sekaligus cemerlang di Asia, masih ramai yang tidak faham akan erti perjuangan ini kerana pada mereka seri bertemu JDT sudah dianggap sebagai kemenangan terbesar buat mereka.

Lihat sahaja bagaimana lebih 16 ribu penyokong Negeri Sembilan yang sudah menyanyikan lagu “Hari Ini Kita Sudah Menang” sedangkan kedudukan di papan skor adalah 0-0. Seri dianggap sebagai menang.

Berbeza dengan pemain-pemain JDT yang mempunyai mentaliti raksasa dengan menganggap seri adalah kalah dan akhirnya usaha tidak mengkhianati hasil dengan jaringan pada minit akhir untuk mengutip tiga mata penuh.

Bukan hanya mentaliti untuk mencari kemenangan tetapi penyokong JDT juga dilihat lebih siuman dengan jarang mempertikaikan segala perkara yang tidak boleh dikawal sebaliknya hanya mahu melihat pemain-pemain kesayangan menjaringkan gol demi gol.

Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat bahawa bola sepak Malaysia lebih dikenali kerana JDT malah pemain-pemain import baharu yang menyertai beberapa pasukan lain turut menyatakan mereka kenal Liga Malaysia kerana kekuatan jenama JDT.

Memang sukar untuk menempuh arus tetapi sesuatu perlu dilakukan biarpun ianya dilihat sebagai satu keputusan yang bukan popular di kalangan semua.

Perubahan yang dilakukan bukan hendak mengejar populariti mahupun kelihatan positif di mata ramai tetapi ianya tentang bagaimana kita menerima perubahan dan kritikan yang diterima ekoran perbuatan kita.

Ujian hidup datangnya menduga dan kita perlu meredah serta tabah menerima umpama pantai luas dan teguh kukuh menahan gelombang.

Mengalah tidak menyerah juga tidak.
Inilah takdir Tuhan dan hebatnya terzahir.

Akhir kalam, jadilah bak matahari, tetap bersinar meski sendiri.

Luaskan Kuasamu Johor.