Aura penyokong JDT dijangka kembali menggema dalam perlawanan terakhir menentang gergasi dari Jepun, Vissel Kobe, bagi saingan peringkat kumpulan ACL Elite Zon Timur pada 17 Februari ini.
Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu bukan sekadar aksi penutup tirai kumpulan, sebaliknya menjadi medan penentuan buat Johor Darul Ta’zim FC dalam usaha menentukan kedudukan dan mengintai slot ke pusingan seterusnya.

Berdepan pasukan yang memiliki reputasi besar dalam saingan Liga Jepun serta pengalaman luas di pentas Asia, JDT memerlukan bukan sahaja taktikal yang tersusun, malah sokongan padu daripada pemain ke-12 di stadium.

Kehadiran ribuan penyokong setia Harimau Selatan dijangka menjadi suntikan moral dan motivasi penting buat skuad kendalian Xisco Munoz.
Atmosfera di SSI sering kali mencipta tekanan kepada pasukan pelawat bakal menjadi kelebihan tersendiri buat tuan rumah, apatah lagi apabila misi membawa pulang tiga mata yang sangat penting menjadi keutamaan.

Rekod JDT di laman sendiri dalam saingan Asia sebelum ini membuktikan bahawa Stadium Sultan Ibrahim bukan gelanggang mudah untuk ditawan.
Ayuh penyokong JDT, dapatkan tiket anda bagi menyemarakkan lagi atmosfera dan semangat JDT pada aksi terakhir ACL Elite ini nanti.
-MNA
