KU KORBANKAN JIWA RAGA UNTUK MU DEMI JOHOR DARUL TA’ZIM – BAHAGIAN AKHIR

Juraian air mata berhambur sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan. Aku gembira bukan kepalang walaupun pada hakikatnya JDT tewas di tangan Kashima Antlers.

Hei aku peduli apa JDT kalah. Ini Kashima Antlers beb. Juara bertahan ACL. Kalah pun 2-1 dan yang paling penting JDT memberikan persembahan bertenaga dan boleh menimbulkan bimbang di kalangan pasukan lain.

 

Aku tiba di Kashima Soccer Stadium seawal jam 5 petang. Sayangnya muzium ditutup awal kerana hari perlawanan. Aku membeli tiket pada harga RM60 dan teruja untuk memberikan sokongan kepada JDT.

Di dalam stadium aku bergabung bersama Boys of Straits dan bermulalah malam gila kami apabila menyanyi dan bersorak tanpa henti sepanjang 90 minit. Tetapi aku masih memakai baju. Masih tidak gila hendak menanggalkan baju macam komrads yang lain.

 

Farizal Marlias menepis sepakan penalti dan jaringan kelas dunia Serginho dapat aku saksikan didepan mata. Tetapi apabila Diogo menjaringkan gol aku automatik menjadi histeria. Sudahlah teruja dengan corak permainan positif dibelanja pula dengan jaringan.

Gegak gempita penyokong JDT menyambut gol itu dan aku tidak boleh bayangkan bagaimana agaknya kalau bola lencong Akhyar “Matyat” menerjah jaring Kashima pada saat akhir perlawanan.

 

Tamat permainan aku terharu kerana JDT sangat bagus pada hemat aku. Bermain bola sepak moden yang positif dengan disiplin yang hebat. Memang ada kesilapan dan kekurangan namun JDT berjaya merapatkan jurang kualiti jika dibanding aksi 2017 menentang Gamba Osaka.

Kini aku sudah berada di Lapangan Terbang Narita. Aku hanya bermalam di sini sahaja kerana mahu menjimatkan wang perbelanjaan selain pesawat aku akan berangkat pada awal pagi. Wi-Fi pun percuma jadi aku cuma mencari pojok untuk berbaring sementara menunggu kaunter daftar masuk dibuka.

Aku tahu aku perlukan tidur yang selesa tetapi dengan persembahan mengujakan dari JDT dan pengalaman awaydays yang power ini aku yakin mata aku sukar dilelapkan. Terima kasih semua kerana berjaya membawa nama JDT cemerlang di pentas ACL.

 

Aku kini sudah mula riki-riki tiket penerbangan ke Jinan, China untuk perlawanan menentang Shandong Luneng pada 9 April nanti. Tetapi tugas utama selepas ini adalah malam ACL yang pasti gila di Larkin pada 12 Mac menentang Gyeongnam FC. Mari kita tunjukkan pada oppa Gyeongnam apa itu Larkin Roar. Akhir kata Arigato Japan, Arigato JDT. Luaskan Kuasamu Johor.

Ini Johor…. Ini Johor… Ini Johor Darul Ta’zim”

Kamal Ahmad, Johor Bahru

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply