KU KORBANKAN JIWA RAGA UNTUK MU DEMI JOHOR DARUL TA’ZIM – BAHAGIAN II

Alhamdulillah setelah menempuh perjalanan hampir 15 jam aku sampai juga ke tempat penginapan di bandar Kashima ini. Bandar tepi laut ini menyambutku dengan cuaca yang sejuk dan hujan.

Perjalanan dari Johor melalui Singapura seterusnya transit di Hong Kong dan akhirnya ke tanah Jepun tidak terasa penatnya apabila aku sedar yang aku menaiki satu pesawat dengan komrads Boys of Straits.

Allah memudahkan perjalananku dan aku meneruskan perjalanan dari Narita ke Kashima menggunakan sistem keretapi Jepun yang cukup efisien. Tepat waktu terus berjalan tidak seperti undian Piala FA yang dijanjikan jam 3 petang tetapi hanya bermula jam 3.20 petang.

 

Tiba di Kashima aku terus ke hostel dan langsung tertidur kerana kepenatan tetapi ada senyuman puas terukir di wajah kerana misi ke ACL sudah separuh jalan aku tempuhi.

Selamat pagi dari Kashima. Aku teruja kerana sebelum ini Jepun hanya aku kenal menerusi Doraemon dan juga Ultraman sahaja. Aku meluangkan masa berjalan-jalan pagi membiasakan diri dengan cuaca sejuk sambil mencari sarapan.

Seperti yang aku maklumkan sebelum ini, aku mencari Family Mart dan aku menikmati mi segera Jepun sambil menikmati Wi-Fi percuma untuk meneruskan nukilan ini.

Tujuan utama hari ini adalah aku mahu tiba awal di Kashima Soccer Stadium. Perjalanan dari bandar Kasima menggunakan keretapi yang berhenti langsung di hadapan stadium. Umpama stadium Bukit Jalil. Aku akan cuba untuk melawat muzium Kashima yang ada di kawasan stadium.

Pastinya muzium ini ada menceritakan sejarah penting kelab dan juga stadium Kashima ini. Aku juga akan cuba bersembang dengan warga Kashima untuk mengetahui lebih lanjut tentang kelab dan penyokong mereka.

Aku ada menyediakan beberapa stiker JDT untuk ditukar bersama penyokong Kashima nanti. Melalui cara ini aku mungkin dapat menjadi duta kecil JDT sekaligus memberi gambaran bahawa penyokong JDT sangat sporting dan mesra.

Ok aku mahu jalan-jalan di sekitar Kashima dahulu. Nanti aku akan sambung suasana di stadium sebelum dan semasa perlawanan jika ada masa yang terluang. Good luck for me and JDT.

“Oh JDT… This is for you…. We here for you… For Red and Blue….”

Kamal Ahmad, Johor Bahru

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply