‘LEARNING CURVE’ DI KEJOHANAN KELAB ASIA JADIKAN JDT SEMAKIN BERBISA

Kejayaan kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) membenam cabaran Sanfrecce Hiroshima 3-1 pada aksi pertama Pusingan 16, Liga Juara-Juara AFC Elite 2025-26 sebenarnya membuka mata pelbagai pihak terutama mereka yang meneliti persembahan dan pencapaian kelab selatan tanah air ini.

Perjalanan panjang Harimau Selatan di kejohanan kelab Asia bermula pada tahun 2015 di mana JDT bersaing di Piala AFC dan membuat kejutan hingga muncul juara.

Percubaan untuk layak ke Liga Juara-Juara AFC ketika itu memerlukan pengorbanan yang besar dengan terpaksa melalui kempen play-off yang menyaksikan JDT sering terkandas kepada kelab Thailand dan Jepun.

Ketika itu, kita sebagai penyokong melihat kelab ini sebagai sangat kecil jika dibandingkan dengan lawan-lawan Asia lain termasuk kelab serantau dan Asia Timur seperti Thailand, Hong Kong, India, Vietnam malah Indonesia.

Semangat melawan yang diterapkan pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor sentiasa melekat dalam jiwa sesiapa pun yang menyarung jersi keramat Merah Biru dan satu persatu lawan berjaya dijinakkan hingga kita berada di tahap seperti ini.

Kelab-kelab serantau kini dilihat sebagai bukan lagi lawan yang setara dan JDT mula bermain di peringkat lebih tinggi bermula 2019 dan kini berlaga bahu bersama-sama kelab dari Korea, China dan Jepun.

Ketika ini, kita memandang tinggi kelab-kelab gergasi Asia ini malah JDT dianggap sebagai lubuk tiga mata oleh para penyokong lawan tetapi kini kelab Korea dan China berjaya ditawan namun kita masih gagal memberi saingan kepada kelab Liga J1 Jepun.

Musim demi musim berganti dan keputusan apabila bertemu kelab Jepun masih tidak memihak kepada kita tetapi Tunku Mahkota Ismail dan barisan kejurulatihan tidak pernah putus asa dan terus belajar dan berbelanja untuk menguatkan pasukan.

 

Tibalah musim elit 2025-26 di mana JDT dijadualkan bertemu tiga kelab dari Jepun, Machida Zelvia, Vissel Kobe dan Sanfrecce Hiroshima – kesemuanya gergasi dalam bola sepak Asia.

Ramai pengkritik langsung tidak meletakkan harapan buat JDT kerana beranggapan kelab-kelab Jepun lebih kuat dan rekod lampau tidak pernah menyebelahi Harimau Selatan.

Tetapi dalam bola sepak, tidak ada yang mustahil dan dengan purata sorakan 26,000 penyokong pada setiap perlawanan, JDT membuktikan mereka kini lebih bersedia untuk melakar sejarah.

Akhirnya empat perlawanan menentang kelab dari Jepun menyaksikan JDT menang dua kali, seri sekali di laman sendiri dan tewas sekali di tempat lawan.

Tambah menarik, JDT berada di ambang penyingkiran peringkat liga dan perlu menang keatas Vissel Kobe dan mereka berjaya melaksanakan tugasan dengan cemerlang sebelum Sanfrecce Hiroshima pula menjadi mangsa di pusingan 16.

Kini dengan berkelebihan dua jaringan, JDT akan tiba di Hiroshima minggu hadapan dengan sebelah kaki sudah berada di suku akhir dan hanya keputusan positif bakal menyaksikan kita mencipta satu lagi sejarah baharu buat kelab kerdil ini.

‘Learning Curve’ yang dipelajari tahun demi tahun inilah yang membentuk kematangan Harimau Selatan ketika ini. Tatkala ramai yang gagal, JDT semakin ke hadapan dan kini semakin hampir untuk mencipta sejarah baharu.

Terima kasih juga diucapkan kepada semua penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan tanpa mengira hari, bulan, waktu, kesesakan jalan raya dan pelbagai faktor yang sering dijadikan alasan untuk tidak ke stadium.

Pengajaran yang kita dapat dari perjalanan JDT di peringkat Asia ini adalah sentiasa belajar dan percaya pada diri bahawa walaupun kita kecil, kita mampu bersaing dan akhirnya usaha tidak akan mengkhianati hasil. Ini Johor Darul Ta’zim.

Luaskan Kuasamu Johor!