12 TAHUN DI PUNCAK, BUKAN KEBETULAN

Sebagai penyokong, kami tidak asing dengan segala hiruk pikuk yang melanda Johor Darul Ta’zim (JDT). Kritikan, sentimen dan pelbagai persepsi sentiasa mengiringi perjalanan kelab ini. Namun, satu perkara yang pasti—JDT tidak pernah lari daripada fokus sebenar mereka.

Di sebalik semua yang diperkatakan, kami melihat sendiri bagaimana kelab ini terus bergerak mengikut perancangan. Transformasi yang dibina bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, tetapi hasil usaha berterusan, disiplin dan visi yang jelas sejak dari awal.

Sebagai penyokong, kami juga sedar bahawa kejayaan ini bukan datang dengan mudah. Ia dibina melalui struktur yang kukuh, pelaburan yang berani serta komitmen tinggi dalam memastikan JDT sentiasa berada selangkah di hadapan.

Sudah pasti DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor – Pemilik JDT sebagai penggerak utama menjadi tunjang kepada segala pencapaian ini. Visi baginda bukan sahaja mengubah wajah JDT, malah mengangkat standard bola sepak ke tahap yang lebih tinggi.

Kami juga memahami bahawa apabila ada pihak tidak mampu menandingi di atas padang akan wujud pelbagai usaha lain untuk menjatuhkan. Namun sebagai penyokong, kami memilih untuk terus berdiri teguh kerana kami percaya kepada apa yang sedang dibina.

Sokongan yang diberikan bukan sekadar hadir ke stadium tetapi satu kepercayaan terhadap perjalanan jangka panjang kelab ini. Rekod kehadiran yang terus meningkat adalah bukti bahawa semangat itu semakin kuat bukan semakin pudar.

Lebih membanggakan, 12 kejuaraan Liga Super berturut-turut yang diraih bukan sekadar angka, ia adalah bukti dominasi yang belum pernah digugat. Dalam tempoh lebih satu dekad, JDT telah menetapkan standard yang terlalu tinggi sehingga tiada siapa mampu menyaingi secara konsisten.

Dalam masa yang sama, kami tidak pernah lupa untuk kekal berpijak di bumi nyata. Kemenangan tidak boleh membuatkan kami alpa. Mentaliti “kelab kerdil yang dahaga” terus menjadi pegangan dan sentiasa lapar untuk lebih banyak kejayaan.

Hari ini, kami menyaksikan sendiri bagaimana JDT mencipta rekod demi rekod dan menetapkan standard baharu. Dari dalam padang hingga ke luar, JDT kini menjadi rujukan dalam bola sepak tempatan.

12 tahun di puncak bukan kebetulan. Ia hasil kerja, visi dan mentaliti juara dan kami belum selesai.”

Sebagai penyokong, kami bangga. Tapi lebih daripada itu, kami faham perjalanan ini masih jauh.

Dan selagi visi ini terus dipegang, kami akan tetap berdiri di belakang JDT. Bukan sekadar menyokong kemenangan tetapi menjadi sebahagian daripada sejarah yang sedang dicipta.

Berbanggalah!