HARISS HARUN – EMPAT BELAS YANG MENJADI LEGENDA HARIMAU SELATAN

Sekitar bulan November 2013, Hariss Harun baru sahaja menyambut ulangtahun ke-23 telah bersetuju secara rasmi menandatangani kontrak bersama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Ketika itu beliau menjadi rebutan pasukan-pasukan kaya di Malaysia seperti Selangor, Pahang dan Kelantan setelah aksi cemerlang bersama LionsXll pada musim 2013.

Bukan itu sahaja, Hariss Harun juga hampir ke Portugal untuk beraksi bersama sebuah kelab yang bersaing di Primeira Liga iaitu Rio Ave Futebol Clube, sebuah kelab yang berpengkalan di in Vila do Conde, Portugal. Namun akhirnya Hariss Harun membuat keputusan berani lmenerima tawaran JDT setelah DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berjaya menyakinkan beliau bahawa kerjayanya bersama JDT akan lebih berwarna.

BERMULALAH CORETAN CEMERLANG SEORANG LEGENDA

Pada 11 Februari 2014, Hariss Harun berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk JDT ketika menentang Kedah FA dalam perlawanan Piala FA 2014. 4 hari kemudian, Hariss Harun menjaringkan gol Liga Super Malaysia pertamanya untuk JDT ketika perlawanan Liga Super Malaysia 2014 menentang Pasukan “Raja tiada piala” Selangor FA.

Pada musim pertamanya, pada tahun 2014, Hariss Harun telah berjaya membantu JDT memenangi gelaran Liga Super Malaysia buat julung kalinya dalam sejarah.

Kerjayanya terus bersinar malah membawa sekali tuah kepada pasukan dari selatan tersebut. Pada 31 Oktober 2015, beliau membantu Johor Darul Ta’zim menjuarai Liga Super Malaysia 2015 dan mencatat sejarah unggul dalam karier bola sepaknya apabila JDT menjadi kelab pertama Asia Tenggara yang berjaya memecah dominasi kelab-kelab Arab untuk menjuarai Piala AFC 2015 di Tajikistan.

Pada 9 November 2015, Hariss Harun menandatangani kontrak 2 tahun baru dengan JDT, dengan gaji bulanan AS $ 30,000 (SGD 43,000), menjadikannya pemain bola sepak Singapura berpendapatan paling tinggi dalam sejarah.

Pada pembukaan musim 2016, Hariss Harun berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan hasil dari sepakan sudut pada hari perlawanan pembukaan Liga Super Malaysia 2016 ketika JDT menentang Selangor FA. Perlawanan dramatik itu berakhir dengan keputusan 1-1. JDT ditabalkan sebagai juara Piala Sumbangsih 2016 setelah menang menerusi penentuan sepakan penalti 7-6. Pada musim ini juga pada 14 Mei 2016, Hariss Harun bersama JDT telah menjulang Piala FA buat pertama kali dalam sejarah JDT setelah menewaskan PKNS FC 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

KEMBALI KE JDT DENGAN SEMANGAT BAHARU

Pada musim 2017, Hariss Harun dipinjamkan ke kelab division kelima Liga Sepanyol iaitu Centre d’Esports l’Hospitalet. Namun aksi beliau bersama kelab itu tidak lama apabila organisasi JDT bertindak meminjamkam Hariss Harun ke kelab gergasi Liga Singapura Home United selama satu musim.

 

Hariss Harun kembali ke Larkin pada tahun 2018 setelah kontrak pinjamannya di Home United berakhir. Dia memulakan aksi pertama musim itu pada 3 Februari menentang Kedah FA di Piala Sumbangsih 2018, di mana JDT memenangi Piala Sumbangsih ke-3 mereka. Dia menjaringkan gol pertamanya musim itu ketika menentang Perak FA. Pada perlawanan tersebut JDT meraih kemenangan 2-1 lantas merangkul gelaran liga ke-5 berturut-turut JDT. Pada musim itu juga, Hariss Harun mendapat penghormatan apabila diangkat menjadi Ketua Pasukan Harimau Selatan.

DETIK-DETIK PENGHUJUNG AKSI NOMBOR EMPAT BELAS

Pada musim 2019, Hariss Harun berjaya melengkapkan karier cemerlang bersama JDT apabila telah menjulang Piala Sumbangsih, mengekalkan kejuaraan kelima Liga Super Malaysia dan membawa Piala tertua Asia yang Piala Malaysia ke Johor Bahru.

Pada musim 2020 pula, JDT cemerlang apabila mengulangi kejayaan invincible setelah pertama kali mencatatnya pada musim 2015. Kerana pandemik COVID-19, Liga Super Malaysia 2020 telah berlangsung dengan format secara separuh liga iaitu bermula daripada perlawanan kelima hingga perlawanan kesebelas. Disaat pasukan di Malaysia masih terumbang ambing dengan prestasi, JDT berjaya mengekalkan reputasi sebagai Maharaja Bola Sepak Malaysia apabila dengan mudah mengekalkan kejuaraan kali ketujuh Liga Super Malaysia.

Menjelang musim Liga Super Malaysia 2021, Hariss Harun telah menjadi antara pemain yang paling kerap menjulang Piala Sumbangsih untuk JDT setelah berjaya menjulang bermula dari tahun 2015, 2016, 2018, 2019, 2020. Paling terbaru, seperti penutup gemilang bagi karier beliau di JDT, Hariss Harun berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk seri 1-1 menentang Kuala Lumpur FC pada 30 April 2021.

Akhir artikel, tanpa syak lagi Hariss Harun kini boleh diangkat sebagai Legenda JDT sebaris Safiq Rahim, Luciano Figueroa dan beberapa nama besar lagi.

Hariss Harun, jiwanya pasti selamanya Merah Biru.

Saya dengan bangga mengatakan bahawa sebahagian daripada diri saya akan sentiasa berwarna merah dan biru. Luaskan Kuasamu Johor! Sehingga kita berjumpa lagi ♥️?”- Hariss Harun

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply