SATU DEMI SATU BERITA BAIK BUAT PENYOKONG JDT

Seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri, penyokong JDT diberikan hadiah hari raya oleh pengurusan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi beberapa berita baik yang pastinya akan menambah keterujaan para penyokong.
Ketika liga berehat panjang, pengurusan atasan JDT tidak berehat. Mereka terus bekerja bagi memastikan kelab berada dalam keadaan terbaik dari segi persembahan atas padang dan yang paling penting kewangan.
Hari ini para penyokong digembirakan dengan khabar bahawa seorang pemain Australia akan mengisi kuota import yang dikosongkan Hariss Harun. Memang sedih kita kehilangan kapten fantastik, tetapi hidup perlu diteruskan dan pemain baharu ini dijangka tidak menghadapi masalah menggalas tugas Hariss.
Semua maklum akan keberkesanan pasukan ‘scouting’ JDT. Oleh itu, Shane Lowry, pemain yang pernah beraksi di England, Australia dan Qatar ini pasti akan membawa impak yang besar kepada kelab terutama di Liga Juara-Juara AFC nanti.
Pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor juga telah membuat hantaran di Instagram yang memberi gambaran akan ada sekurang-kurangnya tiga lagi pemain baharu yang bakal ditandatangani dan berita ini sekali lagi menambah keterujaan penyokong JDT.
Tidak sampai dua jam selepas itu, kita diberikan satu lagi khabar gembira apabila mesin gol JDT musim ini, Bergson Da Silva telahpun ditandatangani secara kekal dari kelab Brazil, Fortaleza. Siapa yang tidak mengukir senyuman dengan berita ini kerana kita semua masih menagih sentuhan jaringan Bergson yang sentiasa ceria dalam apa jua keadaan.
JDT jelas bersiap-sedia untuk menghadapi kempen Liga Juara-Juara AFC yang bakal berlangsung secara karnival di Bangkok, Thailand Jun ini. Para pemain dan barisan kejurulatihan sudah disuntik vaksin Covid-19 bagi memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik sebelum terbang ke negara jiran.
Empat berita baik dalam sehari, apa lagi kita mahukan sebagai penyokong. Teruskan sokongan yang padu dan terus duduk di rumah bagi memastikan kita sama-sama membantu memutuskan rantaian pandemik ini.
Buat pengurusan JDT, terima kasih kerana memberikan kami berita baik yang mampu membuatkan kami semua tersenyum tatkala banyak kebimbangan yang wujud disekeliling kita semua. Luaskan Kuasamu Johor.
  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply