“Di kesempatan ini saya juga berjanji kepada anda semua iaitu saya akan buat apa sahaja untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor.”— 4 September 2012, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor
Dari retak luka semalam, tumbuh tunas tekad. Dari gelap gelita malam, lahir cahaya nekad. Waktu boleh meragut semangat yang rapuh, tapi tidak akan mampu menjamah hati yang berakar kukuh.
Selamanya tidak jemu untuk diceritakan berulang kali, kerana inilah tanggal seismik dalam sejarah kewujudan JDT. Malam genesis revolusi. Ya! detik kolosal yang menjadi inspirasi.
Waktu itu, jam menunjukkan pukul sepuluh lima puluh minit malam. Bertempat di tengah padang berlopak Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin yang berlampu limpah suram. Hujan renyai-renyai mengiringi sebuah janji keramat Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang dimuktamadkan. Bukan hanya serangkap bait kata melengkapkan itinerari lawatan, tetapi manifesto revolusi yang bakal menggegarkan seluruh ekosistem bola sepak tempatan.
Bagai sumur api Chamchamal, titah itu menyalakan semula keyakinan yang telah lama dipadam konspirator. Lalu menjadi piagam agung yang menyatukan seluruh lapisan rakyat Negeri Johor. Dari Kota Tinggi hingga ke Segamat, kebanggaan begitu cepat telah menular. Yakin bahawa Johor tampil hebat, menjadi kuasa baharu yang sentiasa malar segar.
“Mimpi itu jauh, tapi langkah tak pernah lumpuh”
Realitinya, Baginda seorang yang bercita-cita tinggi, luhur dalam intuisi. Menetapkan tanda aras, menjejak jalan manifestasi. Sebuah mimpi dijelmakan menjadi cita-cita dan cita-cita itu Tunku corakkan hingga menjadi sesuatu yang nyata.

Hanya dalam tempoh singkat, sumpah keramat menjadi grenad. Dari kelab yang pernah terperangkap dalam kegelapan, JDT meletus menjadi kelab yang menerima infiniti penghormatan. Sejak hari pertama, JDT telah diatur untuk menjadi kelab yang mendominasi secara total. Rekayasa sebuah empayar moden lengkap dengan sistem pembangunan akar umbi, visi jangka panjang, dan pengurusan profesional.
“Setiap luka adalah takdir yang mematangkan”
Perubahan JDT daripada kelab biasa kepada kuasa bola sepak Asia adalah sebuah perjalanan transenden yang tidak tertulis dalam skrip biasa.
Dari Stadium Larkin, transmigrasi ke Stadium Sultan Ibrahim yang tersergam monumental, daripada padang latihan sederhana, transmutasi ke pusat latihan canggih ultra-spektakular. Semuanya bukti material bahawa titah itu teraktualisasi sepenuhnya. Segalanya menjadi saksi hidup bahawa segala kata telah dimeterai sempurna.

Transformasi ini turut menjadi magnet kosmik kepada legenda-legenda bola sepak ternama. Antaranya David Beckham, Luis Figo, Ronaldo hingga Gerard Piqué menyaksikan sendiri keajaiban JDT yang mencipta fenomena. Lebih daripada itu, kelab gergasi Eropah seperti Borussia Dortmund, Sevilla, Valencia, Juventus dan PSG menjalin kolaborasi. Sekaligus mengiktiraf empayar merah biru ini sebagai rakan strategik terbaik di Asia Tenggara dengan penuh legitimasi.
“Laut datang memunggah mutiara”
Konsekuensinya, revolusi JDT mencetuskan gelombang domino yang mengejutkan organisasi bola sepak sedia ada bangkit dari kasur. Tatkala silau cahaya berlian merah Moussaieff mengejutkan mereka dari dengkur. Rentetan sekian lama hanyut dalam nostalgia purbakala, mereka akhirnya tersedar bahawa standard baharu bola sepak Malaya telah serta-merta bermula.
Bukan sekadar retorik, Liga Malaysia kini drastik berubah wajah daripada pemasaran, fasiliti, hingga corak pengurusan yang efektif. Secara konseptual, titah 4 September 2012 bukan sahaja membangunkan Johor tetapi turut menggegarkan seluruh struktur bola sepak serantau secara kolektif.
“Matahari muncul selepas hujan renyai”
Tiga puluh satu piala telah terkumpul, tersimpan rapi tanpa ada kelab lain mampu merangkul. Yang bersungguh mahu melihat taring Harimau akhirnya hilang, sebaliknya mereka pula menjadi hidangan di dalam kandang.
Juara terkemuka Jepun pernah berendam air mata, juara sensasi China pernah pulang tanpa cenderamata, juara handalan Korea pernah dijadikan lubuk kemenangan, bahkan juara Piala Cabaran menerima sejarah paling tragis disimpan buat kenangan.
Lebih sedekad selepas titah keramat itu dilaung, gema janji Tunku terus bergaung. Kita menyaksikan betapa janji seorang Putera Raja mampu menulis sebuah epos revolusi teragung. Seorang pemimpin berjiwa besar mencipta magnum opus empayar yang terulung!

Ironinya, setiap sorakan yang kita lontarkan, setiap panji merah biru yang kita kibarkan, setiap pakaian yang kita sarungkan dan setiap kejuaraan yang kita raikan adalah metafora kepada projeksi sebuah revolusi. Sesungguhnya sebermula hujan yang membasahi bumi, lahirlah kilauan emas yang menjadikan kelab kebanggaan ini simbol kegemilangan, manifestasi maruah, dan alegori keabadian yang supremasi.
Akhir kalam, dari gema janji di Stadium Larkin hingga percikan piroteknik di Stadium Sultan Ibrahim, inilah metamorfosis tour de force yang memahat JDT sebagai empayar bola sepak terbesar tanah air.
Terima kasih, 4 September!
Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Artistik dari manusia satu denyut
Oleh: Hafiz Othman
