DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim membina Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk esok yang lebih gemilang. Berani mencabar kelaziman, merombak struktur, mendefinisi semula erti kecemerlangan sehinggalah terlahirnya sebuah kuasa dominan yang konsisten dan supremasi.
Bagi baginda, kejayaan bukan destinasi, tetapi perjalanan. Perjalanan yang tidak mengenal noktah.
“2014–2015, konstruksi sebuah empayar”
2014 menjadi titik renaisans. Buat pertama kalinya, kelab representasi Negeri Johor ini menakluk takhta Liga Super lantas merealisasikan impian seluruh rakyat Johor yang telah membeku selama berpuluh-puluh tahun sebelum itu. Skuad Bojan Hodak merentap tradisi konvensional, menamatkan musim dengan rekod luar biasa tanpa kalah selama 12 perlawanan berturut-turut bermula dari perlawanan ke-8 hingga ke-19 sebelum dinobatkan juara buat kali pertama.

Menjelang musim baharu 2015, baginda bertitah;
“Kejayaan dicapai apabila seseorang itu menangguhkan kesenangan pada masa kini, untuk mengusahakan matlamat jangka panjang”– 27 Januari 2015, DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim
Sejarah membuktikan bahawa baginda tidak pernah terikat dengan status quo, berani dan tidak gentar mengorbankan keselesaan demi matlamat jangka masa panjang. Sekitar April 2015, ketika Bojan disanjung penyokong setia, baginda berani melakukan keputusan radikal dengan melantik jurulatih baharu iaitu Mario Gómez.
Hasilnya,
2015 menjadi musim metamorfosis. JDT tidak hanya dominan di Malaya tetapi menakluk Asia rentetan muncul sebagai kelab pertama Malaysia menjulang Piala AFC 2015 selain memecah monopoli pasukan dari Asia Barat yang sebelum ini silih berganti menjadi juara Piala AFC.
“Sewaktu saya menukar Bojan Hodak pada tahun 2015, ramai penyokong termasuk penyokong luar bertanya dan mempertikai mengapa jurulatih yang telah membawa dua piala kejayaan kepada JDT dipecat?”– 24 September 2016, DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim
“Transisi Kedua JDT 2018”
Tahun 2018 menjadi saksi kepada sebuah transisi monumental yang sekali lagi mengukir lembaran baharu dalam sejarah JDT. Setelah kejayaan epik Piala AFC 2015 melalui transisi pertama, DYAM Pemangku Sultan Johor sekali lagi menggoncang kepercayaan penyokong setia dengan keberanian melaksanakan transformasi menyeluruh di segenap lapisan kelab.
Baginda memperlihatkan keberanian merombak total dari barisan kejurulatihan sehingga pemain, menonjolkan pemain muda dan membina struktur akar umbi yang lebih mapan. Hasilnya, JDT bukan sahaja mengekalkan hegemoni domestik, malah mara lebih jauh dengan mencipta sejarah sebagai kelab Malaysia pertama layak ke Liga Juara-Juara AFC 2019 secara merit. Ia membuktikan bahawa di bawah baginda, JDT bukan sekadar bertahan di puncak tetapi sentiasa mendahului zamannya.

Sebermula naratif transisi kedua ini juga, ianya membuka jalan kepada kejayaan yang lebih besar untuk musim 2019 sehingga musim 2024/25. Tidak kira era Raúl Longhi, Luciano Figueroa, Benjamin Mora, Ulisses Morais, Esteban Solari dan Hector Bidoglio, JDT tidak menoleh kebelakang lagi. JDT mendominasi Liga Super Malaysia dengan penuh keunggulan sehingga 11 tahun gelaran juara berjaya dipertahankan. Bukan itu sahaja, JDT berjaya memberi saingan yang sengit serta setaraf dengan kelab elit gergasi Asia ketika bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) sehinggalah era Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
“Pemain datang dan pergi. Jurulatih datang dan pergi. Piala kejuaraan datang dan pergi. Kejayaan datang dan pergi, tetapi kelab akan sentiasa kekal. Bersatu kita teguh. Johor dan JDT selamanya”- 28 Februari 2018, DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim
“2025, era baharu transisi ketiga”
“Proses transisi kali ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang kelab bagi memastikan JDT kekal relevan dan kompetitif untuk masa hadapan.”– 23 Ogos 2025, DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim
Kini, selepas lebih sedekad, selepas 12 tahun dalam usianya,
JDT berdiri sebagai epitome kejayaan bola sepak moden Malaysia, sebuah manifestasi bahawa keberanian untuk berfikir di luar kebiasaan adalah kunci sebenar kemajuan.
Namun proses transisi tetap berlaku. Ianya tidak berhenti sahaja disitu.
Menjengah musim baharu 2025/26, Jurulatih, falsafah permainan serta kemasukan pemain baharu menjadi pelan kontingensi jangka masa panjang. JDT sedang dibina kembali, bukan kerana ia lemah, tetapi kerana baginda enggan melihat Harimau Selatan kaku, statik dan selesa ditampuk yang sama.

Itulah ironinya.
Kekal mendominasi kejohanan domestik, melangkah jauh di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan membuat penampilan kali pertama di Piala Dunia Kelab FIFA.
Itulah impian seterusnya.
Ternyata, projeksi jelas dan nyata,
Proses ini bukan sekadar perubahan, tetapi revolusi kesinambungan. Jika 2014–2015 membuka lembaran dominasi, maka 2025 menjadi gerbang kepada satu lagi episod era penguasaan.
Maka,
Dalam arus perubahan yang sedang berlaku ini, kita sebagai penyokong tidak seharusnya skeptikal. Percayalah, bahawa setiap langkah diatur merupakan visi agung yang bakal melakar peta kejayaan masa hadapan.

Percaya dan terus percaya.
Sepertimana 2015 dahulu, begitu juga untuk hari ini.
Akhir kalam, fajar baharu selalu menunggu jiwa berani, bukan jiwa yang masih digenggam semalam. Kejayaan bukan hak hakiki mereka yang selesa, tetapi milik mereka yang berani merobek kulit lama untuk lahir semula.
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Oleh: Hafiz Othman
