BUDAK BAHARU TUNJUK JUARA BERTAHAN KEKEBALAN LARKIN

Ketika ramai memperkatakan tentang kehebatan separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA, dalam diam Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukir sejarah tersendiri buat mereka di Liga Juara-Juara AFC apabila mencatat kemenangan pertama dalam kejohanan ini.

Budak baru Liga Juara-Juara AFC ini hadir dengan laungan ‘kami bukan sekadar pelengkap’ dan kini terbukti apabila berjaya menewaskan juara bertahan ACL 2018, Kashima Antlers di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Ketika undian dilakukan dan mengetahui JDT diletakkan didalam satu kumpulan bersama Kashima Antlers, banyak mulut-mulut nakal dan pemerhati songsang yang ketawa sinis mengenangkan nasib JDT yang mungkin menjadi mangsa belasahan di peringkat kumpulan.

Kini selepas 5 perlawanan, JDT masih bernyawa dan mempunyai rekod mata yang lebih baik berbanding jaguh Thailand, Buriram United dan dua wakil Australia, Sydney FC dan Melbourne Victory. Untuk rekod, ketiga-tiga kelab ini sudah tersingkir dari pertandingan.

Budak baru ini mengajar erti dedikasi dan semangat tidak putus asa. Beraksi dengan majoriti pemain yang berpuasa jelas tidak menunjukkan kekurangan sebaliknya mereka berjuang mati-matian sehingga si juara bertahan terpaksa akur pulang ke Jepun dengan tangan kosong.

Stadium Larkin sekali lagi menjadi saksi bahawa bukan mudah untuk pasukan lawan menang di Larkin. Malah juara bertahan ACL juga tumbang dengan hangat malam Larkin yang dikatakan tidak membawa mudarat kepada mereka.

Foto: www.asiana.my

 

Menjenguk lawan Twitter Kashima Antlers dengan bantuan Google Translate jelas rata-rata penyokong Antlers tidak boleh menerima kekalahan ini. Mereka menuntut perubahan di dalam pasukan kerana mereka juga bergelut dalam liga domestik.

Siapa sangka JDT di musim pertama penyertaan di ACL dilihat mampu bersaing dengan nama-nama besar kelab Asia. JDT bukan hanya berjaya memperoleh jaringan pertama dan mata pertama tetapi kemenangan pertama ke atas juara bertahan.

Ianya bukan mimpi tetapi kerja keras dari pemilik hingga ke penyokong pasukan yang tidak henti-henti percaya dengan kebolehan pemain dan pasukan. Kredit kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung kepada JDT.

Apa yang lebih dibanggakan adalah anak-anak muda Malaysia kini berjaya meletakkan nama mereka sebagai penjaring di peringkat tertinggi kelab Asia. Ini yang sering diperkatakan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor bahawa jika anda ingin menjadi yang terbaik anda harus bersaing dengan mereka yang terbaik.

Kini liga-liga utama Asia sudah menggunapakai kuota Asean maka tidak hairan jika bakat-bakat muda ini dipancing dan bakal mewarnai liga bola sepak Asia. Tahniah JDT kerana berjaya menampilkan magis anda di malam Asia.

Luaskan Kuasamu Johor.

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*