ATTITUDE SAFAWI MEMANG A+

Berpeluang bersama-sama dengan pihak media menghantar Safawi Rasid mengembangkan kariernya ke Eropah, saya terpanggil untuk berkongsi beberapa perkara mengenai ‘attitude’ Safawi yang pada pendapat saya memang A+.

Beliau tenang menjawab soalan demi soalan dari pihak media dan bijak menepis soalan-soalan yang boleh menjurus kepada kontroversi di kemudian hari. Apa yang pasti, Safawi tidak pernah lupa berterima kasih kepada keluarga dan juga JDT.

Bukan mudah untuk berkelana ke Eropah seorang diri. Pastinya memerlukan semangat dan jiwa yang besar bagi menggalas semua harapan bangsa dan negara ketika ini.

Bercakap kepada media, Safawi kekal tenang dan fokus dengan misi beliau. Beliau beranggapan penghijrahan ke Eropah adalah seperti bertukar tempat kerja dan peluang ke sana adalah peluang yang muncul sekali seumur hidup dan sasaran beliau cuma satu — mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama kelab baharu beliau.

Bagi memastikan beliau cepat dan lebih mudah mengadaptasi dengan suasana dan keadaan di sana, Safawi langsung tidak membawa bekalan makanan dari Malaysia kerana baginya, cara terbaik untuk mudah menyesuaikan diri adalah dengan mencuba sendiri makanan dan suasana sebenar.

Beliau juga sudah mendapatkan maklumat tentang bagaimana cara bermain di Eropah menerusi teman sepasukan JDT, Nazmi Faiz dan Syamer Kutty yang terlebih dahulu mencuba nasib di sana. Perkara ini penting kerana beliau sudah mendapatkan gambaran sebenar dari mereka yang pernah ke sana.

Sentiasa mengingati pesanan ibu bapa supaya tidak meninggalkan solat kerana dengan menjaga solat semuanya akan menjadi lebih mudah kata beliau. Safawi juga berharap agar doa dan dokongan rakyat Malaysia mampu membantu beliau beraksi lebih cemerlang.

Pemain yang terkenal dengan kaki kiri yang berbisa ini turut berharap agar kaki kiri beliau dapat berfungsi dengan baik di Eropah sekaligus mampu menaikkan nama dan nilai beliau di pasaran bola sepak dunia. Beliau mahu nama beliau terkenal seluruh dunia.

Tidak menyembunyikan rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan JDT dan Stadium Sultan Ibrahim, tetapi Safawi bertekad bahawa pengembaraan beliau di Eropah bakal membawa sesuatu yang baik buat pasukan negara.

Beliau juga tidak henti-henti berterima kasih kepada JDT dan media kerana tanpa sokongan kedua-dua pihak ini, beliau tidak akan menjadi seperti sekarang. ‘Attitude’ yang sememangnya A+ kerana tidak lupa asal usul.

Tahniah Safawi, buktikan pada semua kehebatan anda. Fokus pada latihan ingat pesanan keluarga dan TMJ. Lupakan seketika cinggey kerana bola sepak adalah dunia anda. Buat Pawi, mu memang nelang.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply