ADA APA DENGAN ANGKA 5?

ADA APA DENGAN ANGKA 5?

Oleh: Firdaus Johari

JDT berjaya mengesahkan kejuaraan Liga Super 2018 dengan kemenangan dramatik ke atas Perak di Ipoh. Perlawanan yang berlangsung sengit menyaksikan JDT bangkit dengan mentaliti juara sekaligus diangkat sebagai juara.

5 adalah angka bertuah buat JDT tahun ini. Signifikannya angka 5 kepada pasukan JDT pada tahun ini kerana terletak pada asas 5 faktor. Faktor dalaman dan luaran yang mungkin tidak disedari penyokong malah orang luar sendiri.

Pertama, JDT adalah pasukan pertama menjuarai Liga Super Malaysia untuk 5 tahun berturut-turut. Satu pencapaian luar biasa untuk kelab yang baru 6 tahun ditubuhkan. Menjuarai liga adalah kejayaan. Namun untuk mempertahankannya lebih sukar dari apa yang dilihat.

Pasukan lain berlumba-lumba untuk mengalahkan JDT dan JDT harus lebih kuat dan ampuh bagi menghadapi segala cabaran yang diberikan. Namun mereka berjaya mengharungi setiap cabaran yang datang dan akhirnya mengecap kemanisan bergelar juara.

Faktor kedua adalah sefahaman antara 5 pemain import yang dibawa masuk. Ya memang ada pelbagai masalah dengan pemain import pada tahun ini. Namun pasukan berupaya membentuk sefahaman yang jitu dikalangan pemain. Mereka berjaya mengadaptasi segala perubahan dengan pantas.

Hariss Harun dan Marcos Antonio setia dan kebal mengawal benteng JDT manakala Gonzalo Cabrera, Fernando Marquez dan Fernando Elizari bijak dalam memainkan peranan di posisi masing-masing.

Disebalik kehebatan pemain import, penyokong juga harus sedar akan kehebatan pemain tempatan JDT. Bermain 5 perlawanan tanpa penyerang import dilihat dapat meningkatkan keyakinan penyerang tempatan. Hazwan Bakri dan Safawi Rasid berjaya meledak beberapa gol penting untuk memastikan Liga Super kekal di Larkin.

Kemunculan pemain muda seperti Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba berjaya mencuri tumpuan peminat. Mereka dilihat tenang walaupun mereka diletakkan di posisi yang sebelum ini dimiliki pemain senior skuad JDT.

Kredit juga kepada Nazmi Faiz, Gary Steven Robbat dan Farizal Marlias yang kembali ke tahap terbaik mereka tahun ini. Tanpa Farizal, JDT pasti berputih mata untuk mengutip mata penuh. 11 ‘clean sheet’ sejak kembali dari penggantungan adalah sangat mengujakan.

‘Turning point’ kejayaan JDT tahun ini bermula di bulan Ramadan. 5 perlawanan berlangsung sepanjang bulan puasa melihatkan JDT berjaya mengutip 13 mata dari 15 mata maksimum. Ini sekaligus menjarakkan mata dari pesaing terdekat.

Bukan mudah untuk membentuk disiplin yang utuh seperti ini. Pembinaan karektor pemain sangat membantu pasukan menghadapi perlawanan di bulan Ramadan. Atas faktor inilah JDT mampu bermain bunga api di bulan Syawal.

Faktor kelima adalah faktor 5 elemen JDT. Apakah 5 elemen ini? Jawapannya mudah. Ianya gabungan titik peluh pemilik, pengurusan, barisan kejurulatihan, pemain dan penyokong pasukan Johor Darul Takzim.

Kelima-lima elemen ini bergerak seiring dengan visi dan misi pasukan yang jelas iaitu layak ke Liga Juara-Juara Asia 2019. Pincang satu elemen maka pincanglah pasukan. Kesatuan ini sebenarnya adalah faktor utama yang membawa kejayaan luar biasa JDT.

Memetik ‘chant’ dari Boys of Straits, “Mahu jadi apa JDT tanpa penyokong, Mahu jadi apa harimau tanpa belangnya, Mahu jadi apa JDT tanpa TMJ” sudah cukup jelas menunjukkan kesepakatan dan keharmonian yang wujud di dalam pasukan.

Sebagai penyokong ayuh teruskan sokongan tanpa prejudis. Menabunglah dari sekarang demi memberi dukungan kepada JDT di peringkat tertinggi Asia. Mari buktikan pada dunia yang pasukan dan penyokong JDT mampu berdiri sama tinggi dengan pasukan terbaik Asia. Jumpa anda di Liga Juara-Juara Asia.

Luaskan Kuasamu Johor

Foto: Zulfachri Zulkifli – www.asiana.my

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply