TAHNIAH PAHANG – JOM KITA TERUSKAN LANGKAH KE AFC

TAHNIAH PAHANG! – JOM KITA TERUSKAN LANGKAH KE AFC

Tahniah diucapkan kepada pasukan Pahang yang berjaya menjulang Piala FA sekaligus menempah tiket ke peringkat kelayakan kedua Liga Juara Juara Asia 2019.

Namun sayangnya apabila pasukan Pahang telah digantung 2 tahun dari beraksi diperingkat Asia oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila Pahang enggan menggantikan pasukan Kedah di kejohanan Piala AFC tahun ini.

Namun kenyataan Presiden MFL, Tunku Ismail atau TMJ dilihat membawa sinar baru kepada Pahang untuk beraksi di peringkat tertinggi Asia itu. Terdapat beberapa faktor mengapa Pahang harus dibenarkan menyertai kejohanan tersebut.

Pertama, pada pandangan saya, JDT perlu mempunyai “teman” di kejohanan tertinggi Asia ini. Kenyataan TMJ supaya FAM mengkaji semula penggantungan ini saya lihat sesuatu yang positif kerana Malaysia sememangnya memerlukan dua wakil untuk bersaing di peringkat Asia.

Mata MA dan ranking kelab Malaysia di Asia bakal tergugat jika hanya JDT yang bertanding. Ini sangat penting bagi memastikan Malaysia akan terus mempunyai wakil dalam Liga Juara-Juara Asia bagi tahun 2021-2022. Oleh itu mata dari dua pasukan akan lebih berharga berbanding satu.

Andai dibenarkan beraksi, Pahang akan menghadapi lawan dari Vietnam atau Hong Kong. Jika sebelum ini JDT bergelut untuk melepasi peringkat kelayakan ini kerana terpaksa beraksi di tempat lawan, Pahang akan berpeluang untuk mara kerana akan beraksi di Stadium Darulmakmur.

Pahang juga sudah mempunyai pengalaman bermain dalam Piala AFC sebelum ini. Oleh itu, pengurusan, pemain dan penyokong sudah pasti faham dengan kehebatan bermain dalam peringkat Asia ini. Pemain tempatan juga boleh “menjual” diri mereka kepada kelab-kelab hebat di seluruh Asia.

Jika JDT dan Boys of Straits berbangga mampu duduk sebaris dengan pasukan dan penyokong terbaik Asia, saya percaya pasukan Pahang dan Elephant Army juga tidak mahu ketinggalan untuk menunjukkan kepada semua kehebatan mereka.

Atas faktor-faktor ini lah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menarik balik penggantungan pasukan Pahang. Ini harus dilakukan demi nama baik Malaysia di peringkat Asia.

Buat Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) pula, janganlah ego untuk tidak membuat rayuan. Lagipun Pahang menang Piala FA secara merit dan layak memperoleh tiket automatik tersebut.

Suka atau tidak, semua pasukan harus mencontohi JDT yang konsisten untuk berada di kejohanan Asia. Ini penting untuk menarik pelabur dan juga meningkatkan lagi kualiti liga kita. Pemain hebat akan dilahirkan jika kualiti liga kita semakin baik. Lihat sahaja Thailand sebagai contoh.

Semua pasukan perlu memiliki misi dan visi yang sama dengan JDT untuk lebih berdaya saing.

Marilah sama-sama kita semua berlapang dada dan membina masa depan yang lebih gemilang untuk bola sepak tempatan. Demi Malaysia untuk Asia.

 

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply