TIGA PERLAWANAN PENENTU HALA TUJU JDT

Permulaan yang meyakinkan buat pasukan JDT apabila berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih dan berjaya mengutip 6 mata dari 2 perlawanan awal Liga Super.

Tetapi keputusan itu bukanlah ukuran kepada kehebatan JDT musim ini. Perjalanan masih awal dan JDT masih belum diuji sepenuhnya oleh skuad yang lebih mantap.

Melihat kepada dua perlawanan pertama, JDT seolah-olah mendapat teman latihan dan bukannya lawan yang memberi tekanan. Cukup mudah buat JDT mengawal permainan dan menang dengan jaringan besar.

Perak langsung tidak menggambarkan karektor sebagai juara Piala Malaysia. Benteng JDT langsung tidak dicabar dan semua orang maklum akan status Kuala Lumpur. Pasukan yang diletakkan sebagai calon untuk tersingkir ke Liga Premier tahun hadapan.

Tiga perlawanan mendatang ini adalah medan ujian terbaik JDT. Menentang Terengganu, Melaka United dan Selangor. Tiga pasukan ini dianggap pencabar liga semasa pramusim berdasarkan persiapan pasukan mereka.

 

Terengganu pernah mengecewakan JDT di saingan Piala Malaysia tahun lalu. Mereka turun dengan barisan yang hampir sama dan pastinya mereka ingin menewaskan JDT di hadapan penyokong mereka sendiri.

Berdepan Melaka United di Larkin pula akan menyaksikan kepulangan semula bekas kapten JDT, Safiq Rahim serta bekas import Kedah, Liridon Krasniqi. Mereka juga sedaya upaya cuba menewaskan JDT sekaligus bergelar jaguh dari selatan.

Jagoan Malaya, Selangor pula ibarat gergasi yang terluka melihat pasukan muda seperti JDT mula mengorak langkah meninggalkan mereka yang akhirnya berjaya ditransformasi keluar dari genggaman ahli politik. Tiada apa yang lebih membanggakan mereka jika berjaya menjinakkan Harimau Selatan di kandang mereka sendiri.

Tiga perlawanan ini adalah penentu hala tuju JDT untuk musim 2019. Jika berjaya mengutip 9 mata maka peluang pasukan lain untuk mengambil alih takhta Liga Super perlu ditangguh sekali lagi.

 

Tiga perlawanan ini jugalah boleh dijadikan taruhan oleh barisan kejurulatihan untuk membentuk barisan yang jitu sebelum JDT menghadapi saingan Liga Juara-Juara AFC menentang kelab-kelab terbaik Asia.

Kepada penyokong JDT, jangan mudah berasa selesa. Dua perlawanan awal itu adalah rutin biasa bagi JDT. Tiga perlawanan selepas ini adalah ujian sebenar. Teruskan sokongan tidak kira dimana juga anda berada.

Percayalah kita adalah penyokong terbaik dari segi kehadiran di tempat lawan. Pemain perlukan anda demi sama-sama membawa nama baik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.

Luaskan Kuasamu Johor.

Foto:  www.asiana.my

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply