APA SALAH BENJAMIN MORA?

Ketika tamat perlawanan separuh masa pertama bertemu Kuala Lumpur tempoh hari, sedang saya menghela nafas kelegaan kerana JDT berjaya mendahului saya dikejutkan dengan makian seorang ‘brader’ kepada Benjamin Mora.

Umum mengetahui bahawa ramai penyokong yang tidak menggemari beliau malah ada yang menuduh beliau menggunakan tangkal ajaib sehingga menjadi jurulatih kesayangan JDT. Lawak pulak rasanya.

Tetapi sehingga ke hari ini, saya masih terfikir apa salah Mora kepada penyokong JDT. Kenapa beliau dibenci dan tidak disanjung seperti Atok Gomez mahupun Morais. Mengikut rekod, Mora mempunyai rekod kemenangan lebih baik dari Jimenez, Fandi mahupun Raul Longhi.

 

Mungkin kerana rambut beliau yang penuh pomade dan karektor beliau yang kelihatan sombong menyebabkan beliau dibenci penyokong. Atau kerana taktikal atau cara permainan yang ditampilkan membosankan.

Pada pendapat saya, beliau lebih kepada tugas jurulatih yang melatih pemain untuk bermain bola sepak. Beliau lebih sesuai dengan pemain muda dan bukan pemain senior. Ini kerana pemain senior tidak gemar diajar bermain bola sepak berbanding pemain muda.

Beliau pernah meluangkan 10 minit masa beliau bersembang dengan saya di Stadium UiTM pada 2016. Sememangnya beliau mempunyai semangat yang mendalam terhadap bola sepak dan memahami falsafah JDT.

 

Jadi atas dasar itulah saya percaya mengapa beliau sering dinaikkan pangkat untuk mengemudi pasukan JDT kerana beliau tahu apa yang TMJ mahukan.

Beliau dilihat oleh TMJ sebagai jurulatih muda yang berpotensi untuk pergi lebih jauh dengan falsafah bola sepak moden yang efektif. Sebab itu juga beliau dihantar ke Atletico Madrid untuk berguru bersama Diego Simeone demi membawa balik secebis ilmu yang berguna.

Tahun 2017, beliau memikul tanggungjawab yang besar setelah mengambil alih tugas dari Gomez. Ketika itu JDT berada pada tahap yang teruk kerana pemain import yang mengarut dan Mora berjaya membentuk pemain tempatan untuk mengharungi perlawanan demi perlawanan dan memenanginya.

 

Cuma apa yang saya kasihan kepada beliau adalah beliau ditakdirkan untuk tidak memenangi piala sebagai ketua jurulatih. Beliau gagal menang Piala Sumbangsih kerana import mengarut yang tidak pandai mengambil penalti. Saya tidak menyalahkan beliau sebagai ketua jurulatih.

Kepada penyokong JDT, jangan terlalu membenci Benjamin Mora. Mungkin beliau seperti Raul Longhi yang menyinar apabila diberi kesempatan menjadi ketua jurulatih. Kepada Senor Mora, teruskan melatih kerana masih ada yang percaya akan kebolehan anda.

Luaskan Kuasamu Johor

Rosdi Yusof, Shah Alam

Foto: Ezreen Abd Talip & Nizam Rahman – www.asiana.my

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply