TAYANGAN SKRIN GERGASI IRINGI PERJUANGAN JDT DI LIGA JUARA-JUARA AFC

Perjuangan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC sedikit sepi apabila kekangan pandemik Covid-19 menyukarkan para penyokong untuk turut bersama-sama pasukan ke Jepun memberikan sokongan.

Jepun juga yang masih belum membuka sempadan negara mereka kepada pelawat asing menambahkan lagi kesukaran para penyokong termasuk Boys of Straits yang juga tidak akan berada di belakang tiang gol buat pertama kali.

Namun itu bukanlah alasan buat para penyokong untuk tidak memberikan sokongan pada kepada Harimau Selatan apabila pelbagai inisiatif diambil oleh pihak berwajib bagi menambah kehangatan perlawanan menentang Urawa Reds itu.

Acara menonton beramai-ramai menerusi skrin gergasi akan diadakan di kesemua daerah seluruh negeri Johor dengan inisiatif yang diambil pihak berkuasa tempatan mahupun parti politik dan juga kelab peminat.

Di Johor Bahru, acara ini akan diadakan di Dataran Bandaraya dengan pelbagai kemudahan seperti surau dan gerai makanan disediakan bagi memastikan setiap pengunjung berasa selesa bersama keluarga mahupun teman-teman.

Tidak hanya di Johor Bahru tetapi ianya juga di daerah yang lain dan juga oleh kelab-kelab penyokong yang menyewa ‘coffee house’ di hotel-hotel ataupun restoran untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini.

Malah di Lembah Klang, kelab-kelab penyokong juga mengadakan perhimpunan bersama ahli kelab untuk menonton perlawanan ini beramai-ramai.

Sambutan beramai-ramai ini bukanlah perkara baharu buat penyokong JDT apabila setiap tahun, upacara sambutan kemenangan Liga Super turut diadakan secara besar-besaran sebagai tanda penghargaan kepada penyokong.

Semoga semangat dan sokongan yang diberikan ini akan diserap kepada para pemain untuk memberikan aksi terbaik sekaligus layak ke peringkat suku akhir dan mencipta satu lagi sejarah buat JDT. Ayuh Johor, Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply