HANYA DUA KEKALAHAN DARI 26 PERLAWANAN, IANYA SATU PERKEMBANGAN POSITIF

Ramai yang sedih dan kurang gembira apabila Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim JDT (JDT) tewas kepada Urawa Red Diamonds pada aksi Liga Juara-Juara AFC di Stadium Saitama semalam.

Ya memang benar kesilapan mudah individu menyebabkan kita tewas tetapi tahukan kita bahawa kita tewas kepada juara ACL 2 kali dan mereka bermain di halaman sendiri dengan penyokong setia di belakang.

Dan apa yang menarik, ini hanyalah kekalahan kedua Harimau Selatan musim ini dari 26 perlawanan setakat ini dengan kedua-duanya dalam kempen ACL kepada kelab Jepun.

Sebagai penyokong yang matang kita perlu menerima keputusan ini dan kita harus berbangga kerana kelab kesayangan kita ini kini tergolong dalam 16 kelab terbaik Asia, perkara yang kita hanya mampu mimpikan 10 tahun lalu.

Tidak pernah terfikir yang JDT akan bermain di Saitama, salah satu gelanggang Piala Dunia Korea Jepun 2002 tetapi kini bukan hanya JDT bermain di sana tetapi JDT juga mempunyai stadium yang sama seperti di Saitama. Hebat bukan.

Oleh itu marilah kita berdiri di belakang pasukan dan hentikan segala spekulasi yang tidak mendatangkan faedah kepada kita semua. Janganlah kita jadi hanya seperti ‘glory hunter’.

Apa yang pasti, biasanya selepas tewas, pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor akan memperkuatkan lagi pasukan kerana Harimau Selatan perlu pergi lebih jauh dari apa yang dapat dicapai musim ini.

Kepada para penyokong, tiada apa yang hendak dimalukan. Perkataan Liga Juara-Juara AFC sudah cukup menggambarkan kehebatan dan betapa tingginya tahap kejohanan itu. Ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply