TANDA MATA DARI HARIMAU SELATAN BUAT IKTIBAR DEMI KEBAIKAN

 

Keinginan untuk menang, keinginan untuk berjaya, keinginan untuk mencapai potensi penuh anda. Ini adalah kunci yang akan membuka pintu kecemerlangan peribadi. Mata fokus kepada bintang dan kaki berpijak di atas tanah – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menyempurnakan perlawanan kelima Liga super Malaysia 2022 dengan mencatat lima kemenangan berturut-turut. Satu pencapaian yang begitu memberangsangkan pada musim ini. Dengan total lima belas mata yang terkumpul, tiga belas jaringan dan bolos sekali menjadikan Harimau selatan gah di persada liga nombor satu bola sepak Malaysia walaupun kekurangan dua perlawanan berbanding pasukan-pasukan pesaing.

INI PAROI, MEMANG BANYAK MAIN

Disorientasi, depersonalisasi, aplikasi strategikal provokasi psikologi yang melampau dan diakhiri dengan satu gol yang merentap kegembiraan adalah sinopsis pada perlawanan melibatkan Negeri Sembilan FC dan JDT di stadium Paroi semalam.

Foto: Amrul Azuar Mokhtar

Perlawanan yang dicanangkan sebagai pertembungan perebutan carta teratas Liga Super Malaysia tidak seindah yang diharapkan. Variabel kualiti yang digembar gemburkan ada pada pasukan tuan rumah tidak mencapai piawaian sebagai pesaing yang bakal merampas trofi Liga Super Malaysia pada tahun ini.

Secara teoretikal, barisan pemain Negeri Sembilan FC begitu pasif malah tidak mempunyai minat untuk memenangi perlawanan serta tampil dengan aksi lemahnya kepercayaan kendiri.

Foto: Amrul Azuar Mokhtar

Sebagai contoh, Penjaga Gol pasukan tuan rumah Syihan Hazmi membazirkan lebih kurang 28 minit permainan bermula seawal minit ke-12 dengan memanipulasi aksi kecederaan dan melambatkan sepakan gol. Paling melepasi tahap logikal, tindakan penjaga gol ini berkomplot bersama pembantu padang telah menyaksikan kepada tindaka pengadil perlawanan Muhammad Nazmi Nasaruddin memberi teguran kepada petugas tersebut.

Selain itu, pemain Senior Harimau Malaya Zaquan Adha memerlukan kira-kira satu minit untuk menyempurnakan sepakan sudut. Tidak ketinggalan aksi berguling penyerang Import Matheus Alves dan beberapa pemain pertahanan pasukan tuan rumah setiap tiga minit perlawanan berjalan.

Rasionalnya, konsekuensi dari tragedi satu gol minit akhir Fernando Forestieri itu pastinya menggangu psikologi serta emosi pemain Negeri Sembilan FC untuk waktu yang lama berbanding menjadi tonik paling ampuh barisan kesateria Harimau Selatan untuk lebih agresif dan progresif di perlawanan akan datang.

Itulah artikulasi keadilan. Menyesal tidak berguna.

WINNING MENTALITY YANG SEMAKIN SEBATI DALAM JIWA SETIAP PEMAIN HARIMAU SELATAN

Bukan sekadar retorik, kemenangan yang dicatat dalam dua perlawanan terakhir JDT iaitu ketika bertemu Gergasi Asia Ulsan Hyundai dan Negeri Sembilan FC ini adalah berkait rapat dengan kejayaan penerapan ‘winning mentality’.

‘Winning mentality’ adalah fundamental paling penting dalam konstruksi sebuah empayar unggul seperti empayar Harimau Selatan. Mekanisme memperhebatkan keupayaan komposisi corak pemikiran ini telah membantu seluruh keluarga JDT memiliki kekuatan moral dalam sirkulasi kehidupan lalu diolah menjadi formulasi pelonjak semangat untuk lebih giat berusaha, berbudaya kerja cemerlang, berdaya saing, berintegriti serta memiliki cara pandang berbeza dari yang lain.

Partisipasi DYAM Tunku Mahkota Johor dalam mencorak pemikiran ini juga telah membantu JDT menembusi setiap rintangan dengan cemerlang lantas berdiri sebagai sebuah kelab yang berpandangan jauh, autoritatif tidak dapat ditewaskan, mempunyai reputasi yang unggul dan superioriti malah sentiasa kompeten memburu kemenangan hingga ke titisan darah yang terakhir.

Lakukan lah apa sahaja, cubalah berbagai cara, selagi jasad pemain Harimau Selatan mempunyai mentaliti ini, keseluruhan pasukan pastinya tidak akan ada definisi menyerah kalah!

Di JDT, semuanya adalah mengenai ‘Winning Mentality’. Saya ‘push’ para pemain saya ‘to the limit’. Lama-kelamaan ia menjadi satu ketagihan.”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Akhir penulisan, perkara terbaik dalam perlawanan semalam bukanlah hanya tentang kemenangan, tetapi bertempur dengan penuh bermaruah. Sesungguhnya keinginan yang kuat untuk menakluk adalah syarat utama kemenangan.

Harga sebuah kemenangan dan harga sebuah kekalahan, masing-masing memiliki nilai yang sama. Terima sahajalah.

Luaskan Kuasamu Johor!

Kita hidup dalam dunia hari ini di mana fakta tidak lagi penting. Segalanya hanya satu permainan persepsi. Ia sangat menyedihkan dan menakutkan”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*