TAHUN KETIGA DI ACL — APA YANG KITA BOLEH HARAPKAN DARIPADA JDT

Musim 2021 Liga Juara-Juara AFC (ACL) adalah tahun ketiga penyertaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kancah kejohanan kelab terbaik Asia ini.

Mengikut rekod, JDT beraksi agak baik dalam ACL apabila berjaya mencatatkan dua kemenangan, satu keputusan seri dan jika tewas sekalipun bukanlah dengan keputusan yang memalukan kecuali ketika menentang Vissel Kobe.

Kini tahun ketiga JDT di ACL. Apa yang kita boleh harapkan dari penyertaan kali ini. Melihat kepada pasukan yang diundi, JDT mempunyai peluang untuk layak ke pusingan seterusnya sekaligus mencipta sejarah baharu kelab.

Kejohanan kali ini akan dilangsungkan secara karnival di Bangkok, Thailand dengan enam perlawanan kumpulan bermula dari 26 Jun hingga 7 Julai dengan kesemua pasukan akan beraksi di Stadium Rajamangala.

Apabila bermain di Bangkok, antara kelebihan yang ada pada JDT adalah faktor cuaca yang dilihat memihak kepada JDT. Pasukan dari Republik Korea dan Jepun sering dilihat bergelut untuk beraksi di Asia Tenggara dan ini adalah peluang buat JDT untuk merebut mata.

Kembalinya pemain-pemain kebangsaan ke dalam skuad JDT semestinya satu tonik yang ampuh kerana mereka masih dalam keadaan ‘match fitness’ dan tidak mempunyai masalah untuk terus bermain perlawanan kompetitif. Manakala pemain yang berlatih di Johor Bahru diberikan latihan intensiti tinggi bagi menghadapi saingan hebat di ACL.

Kehadiran penyerang kesayangan penyokong, Bergson Da Silva pasti akan menjadi tumpuan kerana kita sedar bahawa Bergson mempunyai karektor yang hebat di depan gawang dan penyerang Brazil itu pastinya mahu membuktikan kemampuan diri beliau.

Acuan faktor cuaca, pemain kebangsaan dan Bergson dilihat mampu membawa JDT pergi lebih jauh kali ini. Enam mata menentang Ratchaburi sangat penting untuk memastikan tempat ke pusingan seterusnya lebih terjamin.

Cuma sayangnya satu faktor kekuatan gagal dibawa ke Bangkok iaitu faktor Boys Of Straits dan penyokong setia JDT. Disebabkan penularan pandemik Covid-19, perlawanan ACL akan dilangsungkan secara tertutup dan aksi JDT hanya dapat ditonton menerusi siaran langsung di pelbagai platform.

Ayuh JDT. Luaskan Kuasamu di ACL. Buat semua penyokong teruskan menyokong JDT kerana mereka tahu kita semua ada walaupun hanya dalam doa. Selamat berjuang Harimau Selatan. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply