PELUANG JDT DI ACL — TIADA APA YANG MUSTAHIL DALAM BOLA SEPAK

Esok bermulanya misi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Juara-Juara AFC 2021 (ACL). Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga JDT bertanding dalam kejohanan terbaik kelab Asia ini.

Setelah gagal meneruskan saingan pada tahun 2020 kerana sekatan perjalanan antarabangsa ekoran penularan pandemik Covid-19, JDT dilihat lebih bersedia untuk berdepan cabaran yang besar.

JDT diundi dalam Kumpulan G bersama-sama kelab Jepun, Nagoya Grampus, kelab Republik Korea, Pohang Steelers dan wakil Thailand, Ratchaburi Mitr Phol FC dengan kesemua perlawanan bakal berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Apakah JDT mempunyai peluang untuk layak ke peringkat 16 terbaik kelab Asia? Peluang pastinya ada kerana JDT tampil dengan skuad terbaik hasil gabungan pemain kebangsaan, tempatan dan antarabangsa.

Berhadapan cabaran Nagoya Grampus, ini bukanlah kali pertama JDT bertemu kelab dari Jepun. JDT pernah menentang Gamba Osaka, Vissel Kobe dan berjaya menewaskan Kashima Antlers yang pada ketika itu adalah juara bertahan.

Ini menjadikan JDT cukup berpengalaman dalam menghadapi kelab Jepun dan Harimau Selatan perlu mengambil kesempatan kelebihan bermain dalam cuaca panas yang sering menggangu ritma kelab dari Asia Timur.

Pohang Steelers pernah bergelar gergasi Asia pada suatu masa dahulu dan kini mereka kembali ke ACL dengan semangat yang baru. Tetapi selepas berjaya mengikat Gyeognam FC dan menewaskan Suwon Bluewings, kelibat JDT tidak boleh dipandang rendah oleh wakil Republik Korea ini.

JDT juga sudah biasa bertemu kelab dari Thailand dalam saingan Asia. JDT seringkali terkandas di peringkat kelayakan suatu masa dahulu tetapi pada ketika itu, kelab Thailand sudah biasa bermain di peringkat kumpulan ACL sekaligus memperlihatkan perbezaan kualiti.

Namun kini, JDT sudah berpengalaman dan pastinya kita mengharapkan enam mata apabila bertemu kelab Thailand dan bakal menjadi penentu hala tuju JDT di ACL tahun ini. Kelebihan tuan rumah yang ada pada Ratchaburi perlu diambil kira untuk mengelakkan JDT terperangkap.

Ayuh JDT, tunjukkan pada Asia kemampuan kita. Apa jua keputusan perlu kita terima dengan bangga kerana semua sedar bukan mudah untuk bertanding di ACL. Tetapi dalam bola sepak segalanya boleh terjadi. Peluang sentiasa ada untuk kita lakar satu lagi kejutan.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply