ARIF AIMAN HANAPI – DARI SKUAD AKADEMI KE KESEBELASAN UTAMA SKUAD KEBANGSAAN

Pemain sayap sensasi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi membuktikan bahawa usia muda bukanlah penghalang untuk membarisi kesebelasan utama skuad negara.

Arif Aiman yang mula menyertai skuad Akademi JDT IV pada 2019 tidak memerlukan masa yang lama untuk naik ke JDT III seterusnya ke skuad pembangunan JDT II dan akhirnya ke skuad utama JDT dalam tempoh kurang dari setahun.

Beliau melakukan debut untuk skuad utama JDT pada tahun 2020 ketika menentang Felda United dan sejak itu nama beliau meniti di bibir penyokong yang teruja dengan aksi lincah dan hantaran lintang yang berkualiti.

Kecederaan yang melanda beberapa pemain utama JDT seakan menjadi ‘tuah’ buat beliau kerana beliau sentiasa diturunkan dan akhirnya menjadi pemain ‘regular’ untuk skuad JDT dan memaksa pemain senior untuk merebut kembali posisi itu dari beliau.

Apa yang lebih membanggakan lagi adalah beliau terpilih untuk bersama-sama skuad kebangsaan ke Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai dan melakukan debut semasa bertemu Vietnam pada usia 19 tahun 1 bulan dan 8 hari.

Tidak cukup dengan itu, tiga hari kemudiannya, Arif Aiman diturunkan sebagai kesebelasan utama ketika menentang Thailand. Aksi cemerlang beliau ketika debut menentang Vietnam berjaya menarik hati ramai pihak dan pastinya barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.

Bermain dengan kelab terbaik yang sentiasa mengamalkan corak latihan berprestasi tinggi dilihat memberikan impak kepada Arif dan hasilnya kini beliau mempunyai dua caps bersama skuad negara dan selepas ini akan bersaing pula di kejohanan tertinggi kelab Asia, Liga Juara-Juara AFC .

Arif Aiman juga membuktikan bahawa mana-mana pemain yang bekerja keras dan berusaha pastinya akan dipandang oleh barisan kejurulatihan JDT kerana di JDT tiada bakat yang akan disia-siakan.

Ini juga adalah bukti keberkesanan sistem Akademi JDT yang bakal melahirkan lebih ramai Arif Aiman selepas ini untuk menjadi aset JDT dan juga skuad negara.

Tahniah untuk Arif Aiman. Bermula dari pemain akademi pada 2019 kini anda adalah pemain utama JDT dan juga pemain utama pasukan kebangsaan hanya dalam tempoh dua tahun. Syabas.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply