Di bawah limpahan cahaya Stadium Sultan Ibrahim, JDT bersedia mengharungi satu lagi malam berprestij di arena Asia. Pertarungan ini bukan sekadar perlawanan timbal balik tetapi ujian karakter, disiplin dan aspirasi sebuah kelab yang sentiasa menetapkan tanda aras baharu.
JDT sekali lagi bakal melayani cabaran Sanfrecce Hiroshima musim ini. Dalam pertemuan terdahulu di peringkat kumpulan, JDT tewas tipis 1-2, malah terpaksa mengharungi sebahagian besar perlawanan dengan hanya 10 orang pemain. Walaupun begitu, aksi tersebut membuktikan Harimau Selatan bukan pasukan yang mudah dijinakkan.

Kini, pentas lebih besar menanti. Pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) membuka lembaran baharu. Lawan tetap sama, tetapi tekanan dan taruhan jauh lebih tinggi dan besar. Ini bukan lagi sekadar perlawanan kumpulan , ini adalah pertarungan hidup mati untuk melangkah ke suku akhir Asia.
Di Stadium Sultan Ibrahim, aura penyokong bakal menjadi senjata ke-12. Dalam aksi timbal balik sebegini, setiap sorakan, setiap paluan, setiap laungan mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan.
JDT pada perlawanan 4hb Mac ini nanti bukan sekadar misi memburu kemenangan, tetapi juga jumlah jaringan yang selesa sebagai bekalan ke Jepun nanti.

Jualan tiket telah pun dibuka. Beraksi di bulan Ramadan bukan lagi satu alasan, malah sudah menjadi kebiasaan buat JDT mengharungi saingan tertinggi Asia (ACLE) dalam bulan penuh keberkatan ini. Musim-musim lalu membuktikan bahawa Ramadan tidak pernah melemahkan mentaliti dan semangat Harimau Selatan. Sebaliknya, ia menambah kekuatan ikatan antara pemain dan penyokong untuk berjuang bersama.

Apabila lampu Stadium Sultan Ibrahim menyala dan laungan bergema ke langit malam, itu bukan sekadar bunyi, itu adalah jiwa Johor yang bangkit bersama. Setiap langkah di atas padang membawa harapan ribuan penyokong yang setia berdiri, tidak pernah berpaling walau diuji.
Ayuh penyokong bola sepak Johor. Kita gegar dan penuhkan SSI. Kita cipta malam magis Asia sekali lagi.
Siapa tahu, anda mungkin menjadi bakal saksi sejarah baru tercipta. Dapatkan tiket anda sekarang, sebelum ianya kehabisan.
#MNA
https://tickethotline.com.my/events/ACLE-25-26-JDT-SAN
