KONSISTENSI JDT BUKAN KEBETULAN – TMJ DEDAH REALITI SEBENAR BOLASEPAK MALAYSIA

Dalam dunia bola sepak, transformasi atau perubahan adalah sesuatu yang pasti. Presiden datang dan pergi, jurulatih silih berganti, pemain bertukar pasukan dan pesaing sentiasa berubah. Namun di sebalik semua itu, satu perkara kekal konsisten, dominasi dan kestabilan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Konsistensi ini bukan sekadar kebetulan, tetapi hasil daripada perancangan strategik, pengurusan profesional dan visi jangka panjang yang jelas.

Perkara ini ditegaskan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menekankan bahawa rekod dan pencapaian JDT sama ada di dalam atau luar padang adalah bukti nyata kepada sistem yang berfungsi dengan baik. Sikap segelintir pihak yang cepat melabel bola sepak Malaysia sebagai “mati” hanya kerana isu tertentu, namun pada masa sama memilih untuk berdiam diri terhadap masalah asas yang lebih besar dan berpanjangan.

Antara isu kritikal yang dibangkitkan ialah kegagalan kepimpinan lama badan induk dalam memastikan hak penyiaran televisyen diagihkan secara adil kepada pasukan yang bertanding.

Hak ini bukan sekadar soal tontonan tetapi merupakan sumber kewangan penting untuk kelangsungan operasi sesebuah kelab. Tanpa sokongan kewangan yang stabil banyak pasukan terpaksa bergelut untuk terus bertahan.

Lebih membimbangkan ialah kekurangan pertandingan kompetitif untuk pembangunan pemain muda. Tanpa platform yang mencukupi bakat muda sukar berkembang secara optimum. Ini memberi kesan langsung kepada masa depan bola sepak negara kerana pembangunan akar umbi adalah asas kepada kejayaan jangka panjang.

Selain itu, isu tunggakan gaji pemain dan kegagalan pengurusan kewangan yang berkesan juga menjadi barah yang telah lama menghantui landskap bola sepak tempatan. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan moral pemain malah merosakkan reputasi liga secara keseluruhan.

Tambahan pula kemudahan asas seperti kualiti padang, keadaan stadium, pencahayaan, dan ketiadaan pusat latihan khusus masih menjadi masalah yang berlarutan selama bertahun-tahun.

Persoalan yang timbul kini ialah mengapa isu-isu asas ini jarang diberi perhatian serius oleh mereka yang mengaku sebagai “pakar”?

Mengapa lebih mudah menuding jari kepada pihak lain daripada memperbaiki kelemahan sendiri?

Teguran TMJ jelas membawa mesej bahawa kemajuan sebenar memerlukan kejujuran, akauntabiliti dan keberanian untuk mengakui kegagalan.

Hakikatnya, kejayaan tidak datang secara kebetulan. Ia dibina melalui struktur yang kukuh, disiplin pengurusan, dan komitmen terhadap kecemerlangan.

Konsistensi JDT adalah contoh bahawa dengan kepimpinan yang betul dan perancangan yang teliti kejayaan boleh dicapai dan dikekalkan.

Bola sepak Malaysia tidak akan maju dengan retorik semata-mata. Ia memerlukan pembaharuan menyeluruh, integriti dalam pengurusan dan fokus kepada pembangunan jangka panjang.

Teguran ini bukan sekadar kritikan tetapi satu peringatan bahawa masa depan bola sepak negara bergantung kepada keberanian untuk berubah, melakukan transformasi dan bukan sekadar mencari alasan.