Lihat jadual Kumpulan Zon Timur ini dengan rasional. Ia refleksi peralihan kuasa dalam bola sepak Asia.
Tiga teratas dikuasai kelab Jepun – Machida Zelvia, Vissel Kobe dan Sanfrecce Hiroshima. Disusuli Thailand melalui Buriram United serta Australia menerusi Melbourne City.
Malaysia berdiri dalam arus yang sama melalui Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim F.C (JDT).

Lebih signifikan, di bawah JDT terdapat kelab dari liga yang suatu ketika dahulu dianggap terlalu sukar untuk dicabar iaitu FC Seoul, Ulsan HD serta wakil China seperti Shanghai Shenhua dan Shanghai Port.
Suatu era dahulu, kelab China berbelanja ratusan juta dolar dan memonopoli pasaran Asia. Korea Selatan pula menjadi simbol disiplin serta konsistensi taktikal. Malaysia sekadar pelengkap naratif.

Kini, susunan ini menunjukkan pergeseran hierarki yang nyata.
Kemaraan JDT ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC Elit membuktikan wakil Malaysia mampu bersaing secara kompetitif di pentas tertinggi. Kesan langsungnya, Malaysia memperoleh tambahan satu slot Asia musim hadapan dengan membuka laluan kepada Selangor F.C. untuk menguji kapasiti di peringkat lebih tinggi.
Menariknya, negara yang sering disebut sedang “bangkit” seperti Vietnam dan Indonesia masih belum menempatkan wakil dalam kelompok elit ini. Wakil mereka beraksi di tahap kedua Asia. Seperti satu lagi kelab kegemaran 13 Negeri Malaysia Selangor FC, populariti mereka belum cukup sempurna untuk menembusi struktur tertinggi benua.

Namun timbul persoalan tentang penghargaan domestik. Media arus perdana seperti ASTRO lebih cenderung memberi ruang luas kepada kemaraan Selangor FC dalam Piala Malaysia, podcast bola yang skeptis terhadap JDT dan perkembangan liga luar, sedangkan kejayaan kelab tempatan memintas gergasi Asia Timur jarang dibedah secara serius dari sudut struktur dan implikasi jangka panjang.
Hakikatnya, pencapaian ini bukan kebetulan. Ia lahir daripada disiplin organisasi, pelaburan berterusan dan kejelasan visi.

Dalam tempoh sedekad, JDT menguasai liga domestik dan secara konsisten mengutip mata koefisien Asia. Kejayaan hari ini bukan lonjakan bermusim, tetapi hasil akumulasi struktur yang dirancang rapi di bawah kepimpinan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Akhirnya, Asia sedang berubah.
Dan Malaysia kini berada dalam landskap perubahan itu.
JDT ‘The Pioneer’!
