SELAMAT KEMBALI KE STADIUM PENYOKONG HARIMAU SELATAN

 

“Saya berbangga dan bersyukur kerana menjadi antara penyokong terawal yang dapat masuk ke stadium. Tak sia-sia saya beli ‘season pass’ walaupun kena tunggu setahun”, kata salah seorang penyokong yang datang mendapatkan kod QR di Stadium Larkin.

Penyokong JDT seharusnya berasa bertuah kerana dipilih oleh MFL sebagai penyokong untuk menguji SOP kemasukan kembali penyokong ke stadium. Semuanya dilihat berjalan lancar dan teratur.


Kini jelas, sebagai pemegang pas bermusim, anda layak untuk masuk ke stadium dan memberikan sokongan padu kepada wira-wira JDT yang sebelum ini bertarung hanya dengan semangat virtual dari anda semua.

Tetapi dalam pada kita gembira janganlah pula kita alpa dan kita perlulah patuh kepada segala arahan dan SOP yang telah ditetapkan. Page Harimau Selatan percaya bahawa penyokong JDT sangat berdisiplin dan sudah biasa bekerjasama dengan marshall stadium yang bertugas.

Rasa teruja ini pasti bertambah dengan kehadiran semula Boys Of Straits yang sudah lama menyimpan kuku untuk menjadi ketua sorakan untuk keseluruhan 90 minit permainan. Sudah pasti banyak kejutan yang akan mereka sajikan nanti.

Buat semua penyokong yang hadir, selamat kembali kami ucapkan. Jaga tata tertib bermula dari parkir ke pintu masuk hingga berakhirnya perlawanan. Nasib semua penyokong bola sepak tanah air bergantung kepada anda. Besar tanggungjawab anda sebenarnya.

Jika kita berjaya mematuhi SOP baharu kemasukan ke stadium ini dan lengkuk jangkitan berjaya kita kurangkan tidak mustahil aksi selepas Aidilfitri bakal menyaksikan lebih ramai penyokong dibenarkan masuk. Sama-sama kita jaga kita.

Stadium Sultan Ibrahim sudah bersedia sepenuhnya dengan keadaan yang tip top dan pastinya selesa buat semua penyokong untuk menyaksikan perlawanan terbaik dari skuad JDT. Buat yang tidak berjaya ke stadium teruskan sokongan menerusi siaran langsung.

Ayuh semua penyokong…. Satukan hatimu… tinggikan sorakanmu… Demi Johor!…’

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply