5 PERKARA YANG MUNGKIN KITA TIDAK SEDAR BERKAITAN PERLAWANAN JDT DAN SELANGOR FC

Ramai yang teruja dengan persembahan kedua-dua pasukan apabila pertemuan dua Raja Bola Sepak Malaysia menyaksikan Selangor FC berjaya membawa pulang satu mata dari Stadium Sultan Ibrahim.

Dalam keterujaan itu, ada lima perkara yang mungkin tidak kita sedari berlaku semasa perlawanan berlangsung. Perkara utama adalah faktor nasib. Jika dilihat, sememangnya nasib kurang menyebelahi JDT apabila dua sepakan penalti gagal disempurnakan.

Namun begitu, Selangor juga bernasib baik apabila JDT gagal menjaringkan penalti dan kecemerlangan Khairul Azhan memastikan Selangor FC mengekalkan keputusan seri. Tetapi nasib sebenarnya adalah apabila pencabar utama JDT, Terengganu FC juga turut seri sekaligus JDT masih kekal di carta liga.

Perkara kedua adalah komitmen para pemain. Perlawanan semalam juga menyaksikan bagaimana kesemua pemain JDT yang bermain sama ada kesebelasan utama mahupun pemain gantian menunjukkan satu komitmen yang luar biasa.

 


Pemain pertahanan JDT seakan tidak penat naik membantu serangan dan kemudian berlari turun mengawal kubu dari dibolosi. Pemain tengah tidak jemu-jemu mencipta peluang manakala pemain serangan cuba memecah kebuntuan tetapi dinafikan penjaga gol lawan.

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe pastinya tersenyum menyaksikan aksi kedua-dua penjaga gol utama dan para pemain yang lain bermain sepenuh hati dan mempunyai tahap kecergasan yang tinggi mahupun mengharungi jadual yang padat.

Perkara ketiga pula adalah pemain import baharu JDT, Bergson Da Silva. Beliau adalah pemain penyerang yang sangat bahaya. Aksi memukau beliau dalam dua perlawanan sudah cukup meyakinkan walaupun gagal menjaringkan penalti. Kualiti yang ada pada beliau mengingatkan kita kepada rakan senegara beliau, Adriano yang mempunyai kekuatan rembatan yang padu.

Tiada yang lebih membanggakan seorang penyokong bola sepak tempatan apabila perlawanan Liga Super menjadi tular di media sosial. Semua orang memperkatakan tentang perlawanan semalam hingga menenggelamkan bola sepak Eropah yang berlangsung pada hari yang sama.

Ini jelas menunjukkan liga kita mempunyai peminat tersendiri dan pihak pengelola liga perlu bijak dalam menaikkan nilai liga menerusi kerja keras di dalam bahagian pemasaran sukan. Inilah perkara keempat yang mungkin kita semua tidak perasan.

Akhir sekali perkara kelima adalah sokongan pemain ke-12 yang menyaksikan perlawanan semalam disaksikan oleh 1.4 juta penonton menerusi laman YouTube unifi. Jumlah ini tidak termasuk angka penonton yang menyaksikan siaran langsung menerusi saluran unifiTV.

Empat perlawanan membabitkan JDT berjaya mencatat lebih 3.7 juta tontonan di YouTube. Satu pasukan sahaja sudah boleh membantu pengelola liga untuk menjual nilai komersial liga kita kepada para penaja. Sekali lagi apa yang perlu dilakukan adalah pemasaran sukan menerusi data yang sudah tersedia di hadapan mata.

Jumlah tontonan ini adalah bukti penyokong sudah rindu untuk turun ke stadium. Dengarnya ada berita baik buat para penyokong apabila kebenarkan masuk ke stadium dibenarkan pada perlawanan Liga Super keenam pada 2 April nanti. Jika ini berlaku ayuh kita ke stadium dengan mematuhi arahan dan SOP yang bakal diumumkan.

Sekali lagi ingatlah semua pasukan yang menentang JDT akan menganggapnya ibarat perlawanan akhir. Oleh itu sebarang keputusan kita perlu terima dengan keputusan terbuka. Pemain sudah lakukan segalanya tetapi seperti kata Ahmad Fakri Saarani “jika bola itu tidak mahu masuk ianya tidak akan masuk”. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply