SEBAB MENGAPA AKADEMI JDT TERBAIK DI MALAYSIA

Agak janggal apabila kita mengaitkan tentang pasukan akademi bola sepak dengan piala atau berbual mengenai kejuaraan yang dimenangi kerana agak kurang akademi yang bernaung di bawah FA negeri yang benar- benar berjaya.

Ini nyata berbeza dengan Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila berjaya menggondol enam piala dari semua peringkat umur. Apa yang lebih membanggakan, piala yang dimenangi bukan hanya pertandingan domestik tetapi juga antarabangsa.

Foto: Emmer Fared – SNE

Agak malang apabila dunia dilanda pandemik Covid-19 hinggakan kejohanan akademi terpaksa dihentikan atau dibatalkan. Jika tidak sudah pasti Akademi JDT terpaksa menempah kabinet piala yang baharu kerana yang lama sudah penuh.

Melihat perkembangan pasukan junior JDT ini, jelas konsep dan cetakan biru yang diilhamkan pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor sudah menunjukkan hasilnya dan kini JDT bakal menjadi kilang ubi-ubi baharu yang bakal menggegar bola sepak negara.

Sepanjang dua tahun bermula 2018 hingga 2019, sebanyak enam piala berjaya dimenangi Akademi JDT sedari pasukan B12 tahun yang menjuarai Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019.

Pasukan B13 juga tidak mahu ketinggalan apabila menjuarai Kejohanan JSSL International 2018 yang diadakan di Singapura. Pasukan B14 pula menjuarai Liga Kementerian Pendidikan dua tahun berturut-turut dari 2018 dan 2019.

Dua pasukan abang dalam Akademi JDT iaitu B15 dan B18 juga cemerlang apabila menjuarai Kejohanan MSSM 2018. Kesemua pasukan JDT dari setiap peringkat umur berjaya bergelar juara.

Ini membuktikan formula kerjasama dengan Valencia CF berkesan dan membantu meningkatkan mutu permainan pelatih Akademi JDT sejajar dengan tuntutan bola sepak moden. Bukan sahaja corak permainan tetapi fasiliti dan mentaliti pemain juga diadun mengikut acuan professional Eropah.

 

Beruntung menjadi pelatih-pelatih Akademi JDT. Bukan sahaja kebajikan mereka terjamin, pelajaran mereka juga diambil berat dan yang paling penting peluang untuk beraksi bersama pasukan senior terbuka luas jika mereka semua bekerja keras dan mempunyai ‘winning mentality’ yang menjadi falsafah JDT. Cayalah Akademi JDT.

Anda sememangnya bukan kaleng-kaleng.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply