ANUGERAH KEAHLIAN EMAS PIAGAM SUPARIMAU FAM BUKTI JDT SERIUS BANGUNKAN PEMAIN MUDA

Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dianugerahkan sebagai Ahli Emas pertama bagi Piagam SupaRimau FAM atas usaha berterusan dalam membangunkan bola sepak akar umbi di negara ini oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Akademi bola sepak akan dinilai melalui 5 kriteria utama, iaitu kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan dan pendidikan. Akademi JDT telah merangkumi kesemua aspek-aspek ini dengan jayanya.

Ini adalah bukti bahawa kewujudan JDT bukan hanya ingin memenangi piala di peringkat senior tetapi juga untuk membentuk bakat-bakat baru yang bukan sahaja bakal menerajui skuad JDT malah dipersiapkan untuk skuad Harimau Malaya.

Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Akademi JDT bukan sahaja menjadi contoh kepada akademi lain tetapi sudah pun mula memberikan hasil apabila berjaya meraih pelbagai trofi kejohanan yang disertai di dalam dan luar negara.

Hasil kolaborasi JDT dan kelab La Liga Valencia CF, Akademi JDT banyak menimba pengalaman menerusi perkongsian kepakaran melalui jurulatih Sepanyol yang sememangnya bertauliah dan faham erti pembangunan bola sepak dari usia muda.

Pemilik JDT DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor membangunkan akademi ini mengikut segala aspek professionalisme yang dituntut oleh badan bola sepak dunia dan bertepatan dengan ciri-ciri bola sepak moden.

Sekali lagi ketelitian Baginda dalam menguruskan sesuatu jelas terlihat apabila tanpa segan silu Baginda belajar dan meletakkan individu yang tepat dalam membangunkan akademi ini sekaligus dinobatkan sebagai akademi pertama yang memperoleh Anugerah Piagam Emas ini.

Menepati kelima-lima aspek yang dituntut menunjukkan kesungguhan JDT dalam memberikan yang terbaik kepada pelatih bermula dari usia muda. Segala fasiliti latihan adalah setara dengan skuad senior dijadikan sebagai pemangkin motivasi kepada pelatih untuk memberikan segalanya dalam merebut peluang ke skuad utama.

Selain itu, kemudahan pendidikan juga tidak dilupakan dan ianya bergerak seiring dengan kejayaan dalam bola sepak. Setiap pelatih diberikan kelengkapan dan bilik darjah yang kondusif bagi memastikan mereka menumpukan perhatian dalam pelajaran sekaligus melahirkan bakat baru yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan tetapi juga akademik.

Foto: Emmer Farid – SNE

Tahniah kepada Akademi JDT dan syabas kepada semua yang terlibat. Kepada para penyokong ayuh berikan semangat kepada pelatih akademi ini. Sokongan anda sangat bermakna buat mereka dan ingat mereka masih lagi pelatih jadi kurang-kurangkan mengata dan memaki jika mereka melakukan kesilapan. Inilah skuad masa depan JDT dan negara.

Fikir-fikirkanlah.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply