MODEL BOLASEPAK JDT MENDAPAT PERHATIAN KELAB AUSTRALIA

Sepuluh tahun yang lalu, tiada siapa dalam industri bola sepak dunia yang tahu atau memandang akan senario bola sepak tempatan. Tiada siapa pun mahu belajar cara pengurusan bola sepak dengan Malaysia.

Tetapi kini pada tahun 2020, senario bola sepak Malaysia sudah mula diintai dan dicemburui oleh pemerhati bola sepak serantau. Ini semua terima kasih kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang banyak mengubah struktur bola sepak tempatan.

Kelab-kelab di Australia yang dahulunya gah kini sudah mula kehilangan arah dan ada yang sudah memasuki fasa untuk dijual. Kelab-kelab yang pernah menjadi nama besar dalam pertandingan Liga Juara-Juara AFC kini sukar untuk bersaing sebaliknya kelab Asia Tenggara terutama kelab Thailand dan Malaysia pula yang semakin kehadapan.

Ekoran dari ini, ramai pemerhati bola sepak di Australia menyarankan agar kelab-kelab ini menjadikan JDT sebagai salah satu contoh dalam pengurusan bola sepak moden. Mereka menekankan konsep ‘Big Man Model’ dengan pemilikan kelab oleh orang besar dalam negeri atau dalam negara.

Apakah yang sebenarnya dilakukan di JDT hingga berjaya menarik minat pemerhati bola sepak Australia?

Pertama

Karisma yang dimiliki oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang faham akan maksud pengurusan bola sepak moden.

Walaupun sebagai anak raja, TMJ percaya dengan konsep ‘putting the right people’ dalam menjalankan operasi kelab dan bukannya menggunakan status Baginda untuk menjalankan tugas ‘as a one man show’. Baginda percaya dengan meletakkan individu yang tepat, sesuatu perkara itu akan menjadi lebih baik.

Berbeza dengan kebanyakan pasukan yang ditunjangi ahli politik yang menggunakan bola sepak sebagai medan mendapatkan sokongan politik dengan menjanjikan bulan dan bintang kepada penyokong yang akhirnya menjerat kewangan pasukan.

TMJ juga memastikan mereka yang dilantik adalah individu yang benar-benar faham perniagaan bola sepak dan bukannya pengampu atau ‘yes man’ yang pandai membuat wayang di hadapan anak raja. Wang bukan segalanya tetapi cara membelanjakan wang itu yang sangat penting.

Kedua

Kerana JDT sudah membuktikan formula yang mereka lakukan itu tepat apabila berjaya menggondol belasan trofi kurang dari sepuluh tahun penubuhan kelab. Selain itu aksi cemerlang di Liga Juara-Juara AFC juga membuka mata pemerhati luar dan akhirnya kelab kecil dari selatan ini mula menjadi sebutan.

Jelas disini, model bola sepak di JDT sememangnya berkesan dan menjadi ikutan dunia bola sepak dunia. Jika dahulu JDT belajar tentang bola sepak kini JDT pula menjadi guru kepada mereka yang mahukan ilmu pengurusan ini. JDT sentiasa terbuka untuk menerima delegasi luar yang mahu belajar dari JDT.

Jika orang luar mahu belajar dengan JDT mengapa kita yang dekat masih mendengki dan menyalahkan JDT dalam segala aspek. Mari ubah mentaliti dan sama-sama kita tingkatkan mutu bola sepak tempatan. Luaskan Kuasamu Johor.

Link: https://theworldgame.sbs.com.au/asia-has-plenty-of-ownership-models-for-mariners-to-study

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*