SAYA BINA EMPAYAR JDT INI ADALAH UNTUK ANAK CUCU CICIT KITA – TMJ

Sambil memandang ke jendela kaca mengadap ke stadium baharu yang sedang pesat dibina tiba-tiba DYAM Tunku Mahkota Ismail Pemangku Raja mengeluarkan ayat ini. Membuatkan saya agak tersentuh waktu itu.

Perjumpaan bersama TMJ petang itu bukanlah dirancang tetapi tempoh 20 minit itu adalah waktu paling bernilai bagi saya mendengar setiap patah perkataan baginda untuk cuba disimpan dan diingati agar boleh sedikit sebanyak dikongsi bersama penyokong.

“Macam mana penyokong-penyokong kita sekarang? Apa isu-isu yang sedang hangat?”

Soal baginda pembuka bicara kami berlima petang itu. Dalam hati saya macam itu sekali pemilik bolasepak ini mengambil berat situasi semasa penyokong-penyokongnya.

Dalam keadaan baginda yang tidak berapa sihat petang itu saya lihat baginda tetap gagah menghadirkan diri ke Ibu Pejabat JDT untuk bermesyuarat, berjumpa pelawat dan membuat lawatan stadium yang dalam pembinaan setiap hari. Buat saya tertanya dalam diri adakah pemilik lain yang sanggup buat begini secara kerap, melalui jalan tanah merah, bongkah-bongkah bangunan yang diketahui berisiko besar buat seorang Pemangku Raja melaluinya. Tetapi TMJ tetap TMJ, tidak akan berpuas hati jika tidak dilihat sendiri perkembangan dan hasil di depan mata sendiri.

“Orang kita biasanya mula dihargai bila orang tu sudah tiada. Betultak?”

Baginda berkongsi rasa hairan kenapa masih ada yang masih meragui kelab ini setelah bermacam-macam yang sudah dikorbankan utk kelab ini. Berpuluh pencapaian dan rekod telah JDT cipta tapi keraguan penyokong masih ada. Pemain dan jurulatih bertukar ganti tetapi piala kemenangan masih kekal di JDT secara konsisten sejak 6 tahun lalu.

“Kamu rasa apa puncanya JDT masih kekal dan kukuh sehingga hari ini? Saya percaya JDT dan apa yang terbina hari ini pasti runtuh jika saya merehatkan diri selama setahun sahaja. Tanpa ada apa-apa hubungan dengan bolasepak JDT lagi..”

Kami semua di situ terdiam ketika itu yang mungkin kepala masing-masing sudah melayang 365 hari ke depan melihat kesan dan akibat jika ianya menjadi nyata.

“Stadium Sultan Ibrahim bukan sekadar stadium bolasepak..”

Sambil kami berlima memandang ke arah stadium dari tingkat 3 bangunan ibu pejabat JDT, Tunku memberikan visual bayangan stadium di masa depan. Stadium ini bakal menjadi pusat hentian riadah keluarga buat semua rakyat.  Di perkarangan stadium bebas untuk pengunjung-pengunjung bersantai tanpa ada kekangan waktu. Kehadiran kedai-kedai jualan di stadium bak umpama kompleks membeli belah bakal jadi tarikan. Surau-surau yang luas untuk kemudahan penyokong. Penyokong-penyokong juga boleh membuat lawatan ke dalam ruang perlawanan dengan dikenakan caj-caj mampu.

“Yang penting bagi saya adalah segalanya mesti cantik. Rumah kita mesti cantik..”

Dalam hati saya inilah hasil Tunku mengembara ke serata stadium kelas dunia luar dan direalisasikan buat penyokong-penyokong JDT di tanah Johor sendiri.

Kami mengundurkan diri  petang itu dengan perasaan puas hati bercampur bangga. Bagi saya benda baik seperti ini perlu dikongsi.

Konsistensi adalah kejayaan sebenar..”

Bagi diri saya pula pengalaman sebentar saya berpeluang melihat sendiri depan mata padang dan stadium baharu ini membuatkan nafas saya seperti berhenti untuk pertama kali. Adakah benar stadium terhebat ini boleh ada di negeriku!

Luaskan Kuasamu Johor!

 

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply