AYUH SEMUA PASUKAN LIGA SUPER, JDT PERLUKAN ‘SPARRING PARTNER’ BERKUALITI

Heboh di media sosial kini apabila banyak pasukan dilihat sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim Liga Super 2020 dan jendela perpindahan ini menyaksikan banyak penghijrahan pemain berlaku.

Ketika pasukan lain giat menambahbaik dan memperkuat pasukan, JDT kelihatan tenang dengan mengambil sikap berdiam diri. Apa yang sering ditonjolkan oleh JDT adalah ‘marvel’ terbaharu mereka, Stadium Sultan Ibrahim yang rancak disiapkan.

Sebenarnya pasukan JDT sudah mencapai tahap dimana mereka sudah mempunyai ‘squad depth’ yang mencukupi. Paling-paling pun mereka mungkin hanya menambah satu dua orang pemain sahaja bagi memantapkan lagi skuad.

Berjaya memenangi tiga piala pada tahun ini tanpa dicabar sudah jelas menunjukkan kualiti yang ada pada JDT. Jadi tindakan pengurusan JDT untuk ‘berhenti berbelanja’ dilihat praktikal dan memudahkan barisan pemain menyesuaikan diri apabila pra musim bersambung nanti.

Apa yang sedang dilakukan oleh Melaka United, Selangor dan Kedah disambut baik oleh peminat bola sepak tanah air. Keterujaan mereka memancing pemain-pemain yang bagus sebenarnya bakal memberikan cabaran baru buat JDT di Liga Super 2020.

Seperti apa yang dikatakan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja sebelum ini bahawa JDT perlukan ‘sparring partner’ yang lebih berkualiti. Ini penting kerana pasukan-pasukan di Malaysia kini berpeluang untuk bertanding di peringkat tertinggi Asia.

Jika liga domestik dilangsungkan dalam keadaan yang sengit maka pasukan tempatan akan muncul sebagai pasukan yang lebih berdaya saing sekaligus membantu pasukan kebangsaan memperoleh keputusan yang lebih baik.

Ayuh semua pasukan Liga Super, mari bangkit kuatkan pasukan anda kerana sudah sampai masanya JDT mendapat lawan yang berbaloi untuk ditewaskan. Apa yang dilaungkan oleh TMJ adalah cabaran kepada anda dan bukannya lagak sebagai pasukan juara.

Ukur baju di badan sendiri. Gunakan dana sendiri dan jangan bergantung 100% kepada bantuan kerajaan negeri. Jadikan bola sepak sebagai perniagaan dan ayuh sama-sama kita majukan arena bola sepak tanah air. Fikir-fikirkanlah.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply