REPORT CARD JDT 2020

 

Ketika ini CIMB Liga Super Malaysia direhatkan sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19 dan kita masih tidak pasti bila liga akan di sambung semula.

Sehingga kini, JDT sudah menempuh enam perlawanan dalam dua kejohanan iaitu empat perlawanan dalam CIMB Liga Super Malaysia dan dua perlawanan di Liga Juara-Juara AFC.

Untuk Liga Super, JDT bermula cemerlang untuk tahun. Berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih dan kekal tanpa kalah selepas empat perlawanan dengan 10 mata sekaligus mendahului carta Liga. Ini adalah permulaan terbaik JDT sejak penubuhan kelab pada 2013.

JDT hanya perlukan tiga perlawanan untuk menawan singgahsana liga berbanding tahun-tahun sebelum ini. Dua mata mendahului Perak melihatkan JDT sememangnya pasukan yang perlu ditewaskan dalam Liga Super.

Selain kejohanan domestik, JDT meneruskan tugasan mewakili negara di peringkat Liga Juara-Juara AFC buat kali kedua berturut-turut. Banyak perlawanan terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19 tetapi JDT berjaya beraksi dalam dua perlawanan.

Sesudah dua perlawanan, JDT dilihat begitu amatur ketika berkunjung ke Kobe menentang Vissel Kobe. Tewas 5-1 tetapi itu tidak melemahkan semangat JDT apabila berjaya bangkit menewaskan Juara Piala FA Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim untuk mengumpul tiga mata dan menduduki tempat kedua kumpulan G.

Persembahan ‘midfield masterclass’ dari Nazmi Faiz dan Natxo Insa memerangkap Suwon sekaligus menyaksikan satu perlawanan epik yang menjadi sejarah Stadium Sultan Ibrahim.

Disebalik persembahan cemerlang ini tercetus satu kontroversi apabila pemain paling bernilai negara, Safawi Rasid dilihat tidak berada pada kemuncak prestasi ekoran gosip cinta yang dikaitkan dengan beliau.

Tindakan pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor memuat naik ‘insta story’ menyerang gadis yang dikaitkan dengan Safawi menjadi tular di peringkat nasional kerana status beliau sebagai aset negara.

Penyokong JDT juga menzahirkan rasa bimbang dengan prestasi pasukan kerana dilihat bergelut berhadapan pasukan ‘kecil’ dan hanya mampu menang tipis. Tetapi apa yang penting adalah tiga mata dan JDT masih menerajui carta liga.

Isu akhbar Berita Harian yang sekian kali cuba mencari publisiti murahan atas nama JDT sekali lagi bertindak kurang bijak dengan menyiarkan berita tentang nasib Benjamin Mora dihujung tanduk ekoran keputusan seri dengan Felda United.

Entah dari sumber mana maklumat yang diperolehi Berita Harian menyebabkan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards terpaksa tampil menjelaskan kekecewaan Harimau Selatan terhadap organisasi akhbar tersebut.

Kini liga berehat tanpa diketahui sampai bila. Melihat kepada report card ini, JDT sebenarnya berada di landasan yang tepat. Semoga rehat panjang ini akan memberi idea baharu buat barisan kejurulatihan dan memberi semangat baharu kepada pemain untuk beraksi dengan lebih baik.

Semoga juga cuti panjang ini memberi rasa ghairah kepada penyokong untuk memenuhkan stadium apabila liga kembali bersambung. Kita kekal tenang dan pastikan semua menjaga kesihatan dan patuhi arahan pihak berwajib ketika ini. Kita jaga kita. Insha Allah semuanya akan kembali seperti biasa.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply