BAGAIMANA JDT MENJANA PENDAPATAN LEBIH RM10 JUTA SEBELUM LIGA BERMULA

 

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya melakukan sesuatu perkara dengan cara mereka yang tersendiri iaitu secara besar dan hebat. Inilah yang sering ditanamkan dalam sanubari mereka yang terlibat dengan kelab oleh DYAM Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor.

Untuk memastikan JDT menjadi kelab yang hebat, pengurusan perlu bijak membuat pelaburan dan memerlukan pelan pemasaran yang bagus untuk menjana pendapatan langsung kepada kelab demi menjamin kelansungan dan dapat memberikan semula keuntungan kepada para penyokong.

Tahukah anda bahawa JDT sudah menjana pendapatan lebih RM10 juta setahun walaupun musim belum bermula. Satu angka yang sangat besar bagi sesebuah kelab di Malaysia. Ini belum termasuk dengan pendapatan dari jualan tiket dan cenderahati kelab.

Persoalannya, bagaimanakah perkara ini boleh dilakukan dan berikut adalah pecahan pendapatan langsung yang diperolehi oleh JDT untuk tahun 2020 ini.

Dengan adanya Stadium Sultan Ibrahim yang canggih, JDT berjaya menjual ‘corporate box’ mereka kepada para penaja dan juga kepada syarikat tempatan mahupun antarabangsa. Penaja boleh berbangga melayan tetamu mereka menonton bola di suite khas yang dilengkapi perkhidmatan katering dari hotel terkemuka.

Stadium Sultan Ibrahim mempunyai 10 ‘corporate box’ dan setiap satu bernilai RM500,000. Kesemua suite ini habis ditempah dan melalui jualan ini, kelab berjaya memperolehi RM5 juta hanya menerusi tempahan ‘corporate box’.

Selain itu, penyokong setia JDT juga kini semakin matang dengan lebih 6,000 keping pas bermusim grandstand dan terbuka berjaya dijual. Dengan harga bermula dari RM400 hingga RM1,500 JDT berjaya menjana pendapatan kira-kira RM4.2 juta setahun dengan jualan pas bermusim ini.

Penglibatan JDT dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) juga menjamin pendapatan tetap kepada kelab apabila AFC memberikan kira-kira RM720,000 sebagai elaun perjalanan untuk ke tempat lawan. Ini belum termasuk elaun kemenangan sebanyak RM200,000 yang bakal diperolehi kelak.

Dua perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim menyaksikan lebih 60,000 penyokong hadir dan ianya berjaya menjana pendapatan kira-kira RM1.2 juta hasil jualan tiket. Ini belum dikira jualan barangan cenderamata dan jualan minuman dari mesin layan diri JDT serta jualan gambar memorabilia yang kini ‘trending’.

Jelas disini, sebelum bermulanya musim baharu, JDT sudah berjaya mencatat pendapatan anggaran RM10 juta setahun. Wang ini akan digunakan untuk menambahbaik fasiliti demi memastikan pengalaman menonton bola sepak di Stadium Sultan Ibrahim akan menjadi lebih baik.

Inilah cara JDT menjana pendapatan sesuai dengan misi JDT RM1 Billion yang dilancarkan penghujung tahun lepas. Inilah cara bola sepak diniagakan dan bukannya bergantung kepada wang kerajaan negeri yang tidak menentu.

RM10 juta adalah angka yang sangat besar. Tahniah JDT dan tahniah kepada penaja, penyokong dan semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan pendapatan ini.

Luaskan Kuasamu Johor.

Foto: Ezreen B Ab Talip

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*