PIALA MALAYSIA 2019 – LALUAN MUDAH BUAT JDT?

Selepas selesai majlis undian Piala Malaysia 2019 sebentar tadi, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat mendapat laluan mudah berbanding pasukan lain.

Tetapi adakah kumpulan B yang menemukan JDT dengan PJ City FC, PKNP FC dan UiTM FC ini benar-benar memberi laluan selesa kepada JDT?. Di atas kertas jawapannya adalah ya tetapi dalam bola sepak apa pun boleh terjadi.

Jodoh PJ City dan JDT begitu kuat dalam saingan Piala Malaysia ini. Jika tahun lalu mereka dikenali sebagai MIFA dan berjaya mengejutkan JDT di Larkin, tahun ini mereka pasti akan lebih yakin apatah lagi selepas mengejutkan JDT di Liga Super baru-baru ini.

PKNP FC walaupun tersingkir dari Liga Super tetapi mereka berjaya mengikat JDT di Manjung ketika saingan liga. Kempen Piala Malaysia ini pasti digunakan mereka untuk meneruskan kejutan sebagai ‘giant killers’.

UiTM FC pula bukanlah lawan asing buat JDT. Beberapa kali pernah bertemu di peringkat Piala FA, JDT perlu memandang serius keupayaan pasukan ini yang ditunjangi pemain import yang bagus serta pemain tempatan dengan semangat juang yang tinggi.

Ayuh turun ke stadium dan berikan sokongan kepada JDT. Walaupun sedikit kecewa kerana kita bakal berhadapan dengan pasukan tanpa penyokong yang ramai, namun itu bukanlah alasan untuk kita tidak memberikan sepenuh jiwa raga buat JDT.

Selamat maju jaya buat JDT. Piala Malaysia tetap ada magisnya dan banyak keputusan luar dugaan sering terjadi kerana masing-masing mahu membuktikan sesuatu kepada peminat setia mereka.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply