RELEVAN LAGIKAH PIALA MALAYSIA UNTUK JDT?

Saingan Piala Malaysia 2019 bakal membuka tirainya esok dengan JDT bakal berhadapan cabaran UiTM FC dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan B di Stadium Larkin.

Bila berbicara tentang Piala Malaysia ramai penyokong JDT khususnya dan penyokong neutral amnya akan tertanya-tanya adakah JDT akan memberikan tumpuan kepada saingan piala tertua Malaysia ini.

Ini kerana JDT menerusi pemiliknya DYAM Tunku Mahkota Johor pernah menyatakan bahawa piala yang dianggap berprestij itu sebenarnya tidak membawa apa-apa makna kerana pemenangnya hanya membawa pulang piala dan tiada tempat ke Asia ditawarkan.

Maka JDT pernah melepaskan saingan ini begitu sahaja dengan membariskan pemain simpanan sahaja bagi mencukupkan jadual pertandingan. JDT menganggap Piala Malaysia tidak relevan dan tidak perlu direbut.

Namun begitu JDT bukan tidak memandang langsung Piala Malaysia kerana mengikut rekod JDT pernah layak ke final sebanyak dua kali dan berjaya menjuarainya pada 2017.

JDT tidak fokus kepada Piala Malaysia tahun 2015 dan 2016 kerana saingannya bertindih dengan jadual Piala AFC. Seperti semua maklum, JDT sememangnya akan lebih fokus kepada peringkat Asia kerana ganjarannya yang lebih besar dan impak yang lebih hebat buat kelab muda ini.

Jika dilihat pada trend ini, JDT dijangka akan menumpukan perhatian kepada Piala Malaysia untuk tahun ini kerana tugasan mereka di Asia sudah selesai. Ini sama seperti 2018 apabila JDT berjaya layak hingga ke separuh akhir.

Melihat kepada lawan dalam kumpulan B pula, di atas kertas, JDT dilihat mempunyai laluan mudah, maka tidak mustahil tahun ini JDT akan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke suku akhir.

Jadi soalan sama ada releven atau tidak Piala Malaysia pada JDT itu terserah kepada sasaran pasukan. Sebagai penyokong ayuh penuhkan Larkin esok dan Rabu hadapan sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Selatan.

Ayuh Johor. Selamat maju jaya di Piala Malaysia. Jika menang kita tambah koleksi piala kalau sebaliknya kita kekal tenang kerana rekod kita sukar ditandingi mana-mana pasukan ketika ini.

Luaskan Kuasamu Johor

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply