PERKARA TERSIRAT YANG KITA TIDAK SEDARI DI SEBALIK PELANCARAN ‘LUCIANO FIGUEROA STAND‘

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dengan bangganya menyempurnakan majlis pelancaran ‘Luciano Figueroa Stand’ sebagai tanda penghargaan kepada legenda hidup JDT itu.

Pertama kali dalam sejarah bola sepak Malaysia, ada ‘stand’ dinamakan sempena bekas pemain. Ramai yang bangga dan ramai juga yang seperti biasa mengecam apa jua tindakan luar biasa JDT.

Ramai yang mengatakan kenapa tidak diletak nama anak tempatan atau legenda lama Johor tetapi itulah mereka hanya melihat dari satu sudut pandang sahaja. Mari kita kupas mengapa JDT mahukan nama Luciano Figueroa diangkat.

Pertama, majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Duta Besar Argentina ke Malaysia. Ini menunjukkan bahawa Johor mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan Argentina. Menerusi hubungan baik ini akan lebih mudah buat JDT untuk mengambil pemain import dan juga mungkin menghantar pemain JDT ke kelab di sana.

Kedua, nama Luciano Figueroa adalah nama yang besar dalam dunia bola sepak. Beliau adalah antara pemain terbaik pernah dilahirkan Argentina dan bermain bersama pemain-pemain hebat yang lain seperti Roberto Ayala, Pablo Aimar dan Juan Roman Riquelme.

Perkara ini sudah tentu menjadi berita di Argentina dan juga seluruh dunia kerana bukan mudah sesuatu pasukan mengiktiraf bekas pemain terutama pemain luar negara. Ini yang dinamakan JDT terkenal di dunia.

Ketiga dari sudut pemasaran. Mungkin selepas ini makin banyak syarikat yang ingin menjadi penaja agar nama mereka boleh terpahat pada salah satu ‘stand’ yang ada di dalam Stadium Sultan Ibrahim. Jika sebelum ini jualan ‘corporate box’ laris bagai pisang goreng panas, kini JDT berpeluang meluaskan ruang nampak penaja ke paras yang lebih tinggi.

Keempat, ianya sebagai pembakar semangat buat semua pemain yang pernah, sedang dan akan bermain buat JDT. Mereka juga berpeluang untuk menempa nama di stand-stand ini. Siapa yang tidak bangga jika nama mereka diangkat sebegitu rupa.

Kelima, pastinya kerana JDT mempunyai stadium mereka sendiri. Menjadi yang pertama dalam semua perkara adalah DNA dalam JDT. Kelebihan mempunyai stadium sendiri memudahkan segala perancangan kelab dari sudut komersil sama ada dalam padang mahupun luar padang.

Jadi inilah perkara yang ramai yang tidak nampak apa yang JDT lakukan. Ianya bukan hanya sebagai mengenang jasa tetapi lebih kepada cara bagaimana perniagaan bola sepak moden dijalankan. Oleh itu jangan terperanjat jika kantung JDT sentiasa penuh.

Mungkin juga selepas ini tempat duduk di ‘Luciano Figueroa Stand’ akan dijual sebagai tempat duduk premium kepada penyokong JDT. Dengan akses yang dekat dengan pintu masuk dan Boys of Straits, pastinya ia adalah pengalaman menonton bola sepak yang tiada tandingan.

Dan mana tahu, pemegang tiket premium ini berpeluang makan malam bersama Lucho. Sudah tentu kawasan tempat duduk ini akan habis ditempah sepantas kilat. Tenang, semuanya di dalam kawalan. Fikir-fikirkanlah. Luaskan Kuasamu Johor.

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*