PERBEZAAN BUDAK BAHARU BOLA SEPAK MALAYSIA DENGAN KING OF MALAYA

 

Sebut sahaja bola sepak Malaysia, nama dua pasukan ini sering diutarakan dan menjadi bualan penyokong baik yang baharu atau yang lama iaitu Selangor dan Johor Darul Ta’zim.

Johor Darul Ta’zim atau dikenali sebagai JDT adalah pendatang baharu dalam bola sepak tempatan apabila dijenamakan semula pada tahun 2013 manakala Selangor adalah pasukan legenda negara dengan rekod 33 kejuaraan Piala Malaysia.

Namun begitu kini jurang perbezaan antara ‘the new kids on the block’ dan ‘King of Malaya’ ini semakin ketara walaupun kedua-duanya ditunjangi pewaris takhta negeri.

JDT dimiliki oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ)manakala DYAM Tuanku Amir Shah Ibni Sultan Sharifudin Idris Shah, Raja Muda Selangor (RMS) adalah Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Jika dilihat dari sudut Liga Super JDT tidak pernah ketinggalan dari segi kutipan mata kepada Selangor sejak 2013 malah kini mengungguli senarai juara Liga Super dengan kejuaraan enam kali berturut-turut.

Untuk musim 2020 yang dipendekkan ini juga, JDT kini semakin jauh meninggalkan Selangor apabila mendahului 9 mata dengan hanya berbaki 4 perlawanan.

JDT bukan hanya jaguh di dalam negara malah JDT juga sudah berjaya muncul juara Piala AFC dalam kemunculan sulung mereka dan di tahun ketiga penglibatan TMJ manakala Selangor masih lagi tercari-cari arah walaupun sudah dua tahun di bawah kendalian RMS.

Janganlah pula bercerita tentang ranking kelab Asia apabila JDT kini di tangga 35 manakala Selangor semakin lenyap dari radar. Ini kerana penglibatan JDT dalam Liga Juara-Juara AFC yang melihatkan JDT bukan hanya bertanding tetapi berjaya memenangi perlawanan.

Dari sudut fasiliti pula, fasiliti yang ada di JDT tidak boleh lagi disangkal. Pusat Latihan bertaraf dunia dengan fasiliti yang serba canggih yang sesuai dengan kehendak bola sepak moden banyak membantu pembangunan dan pemulihan pemain manakala Selangor masih mencari tapak dan terpaksa menyewa padang kerajaan dan menukarkannya menjadi pusat latihan mereka.


Bercerita tentang stadium pula, maaf Selangor anda sebagai King of Malaya harus malu apabila anda terpaksa menyewa stadium di serata negeri kerana anda tidak mempunyai stadium sendiri. Malu kepada budak baharu yang mempunyai stadium kelas eropah yang memuka jiwa semua.

Selangor memang terkenal dengan pembangunan pemain tetapi sayang akademi Selangor tidak kedengaran kini tetapi Akademi JDT semakin canggih dengan kepakaran dari Valencia bermula dari B12 hingga B19 dan berjaya menjuarai pelbagai kejohanan yang disertai.

Pencapaian JDT bermula dari skuad B12 hingga ke skuad senior sudah tidak mampu dihitung dengan jari tetapi Selangor masih lagi membuka sejarah lama berbangga dengan kisah pengurusan lama tetapi apa yang boleh dibanggakan dari pengurusan baharu. Tiada.

Dirumuskan mengapa Selangor makin ketinggalan dan JDT makin kehadapan, jawapannya mudah. Pengurusan yang cekap dengan individu yang tepat adalah kunci kejayaan JDT. Selangor masih lagi ditangguk oleh tangan-tangan ghaib yang hanya mengampu RMS tetapi dibelakang masih mempunyai agenda mereka tersendiri.

Inilah yang membezakan pasukan jaguh Asia dengan pasukan jaguh kampung yang masih bercerita tentang sejarah lampau tanpa pencapaian baharu yang boleh dibanggakan. Merah Kuning kini tinggal sejarah, Merah Biru mencorak sejarah demi sejarah.

Tukiman – Pontian

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*