NELANG JDTKU NELANG!

 

Nelang JDT ku Nelang

Menyaksikan pertembungan perebutan tempat teratas Liga Super di Kuala Terengganu tidak akan saya lepaskan sama sekali. 8 jam perjalanan dari Pontian ditempuh melalui jalan pantai yang sangat indah.

Bandar Kuala Terengganu menyambut ketibaan kami dengan ikan celup tepung yang sangat sedap di Pantai Teluk Ketapang. Melihat pekerja warung memakai jersi Terengganu menghangatkan lagi suasana sebelum perlawanan.

Menjelang perlawanan bandar Kuala Terengganu mula dipenuhi penyokong skuad Peteh yang masing-masing tidak lokek dengan senyuman. Kami disambut baik oleh mereka dan duduk selesa di dalam stadium.

Melihat kepada kesebelasan utama yang diturunkan ada sedikit gusar di hati saya namun tetap percaya dengan perancangan jurulatih Raul Longhi. Terengganu pula turun dengan semangat yang tinggi dihadapan 11,000 penyokong mereka.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Perlawanan berlangsung dengan menarik. Ada beberapa keputusan pengadil mengundang amarah penyokong namun gol Marcos Antonio berjaya menceriakan kem JDT. Bermain tanpa penyerang tulen, JDT jelas bergelut dibahagian serangan.

Tamat perlawanan, JDT berjaya memecahkan rekod tanpa kalah Terengganu sekaligus kekal di takhta liga. Beberapa perkara positif dapat saya lihat dari persembahan keseluruhan pasukan.

Percaturan berani Raul untuk merehatkan Safiq Rahim serta meletakkan Azrif di sayap kanan dilihat memerangkap Terengganu. Tanpa Safiq, Insa dan Hariss dilihat sangat dominan ketika menyerang mahupun bertahan.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Pemain yang dibawa naik dari JDT2, Nico Fernandes juga dilihat berjaya membuka ruang kepada serangan JDT. Tetapi beliau perlu lebih bijak mengawal emosi kerana tempo Liga Super berbeza dengan Liga Perdana.

Raul dilihat lebih berani mempertaruhkan pemain tempatan. Fadhli Shas diarahkan mengawal Tchetche Kipre manakala Darren Lok dibawa masuk ketika pasukan Terengganu sudah keletihan.

Seperti dijangka kekuatan Terengganu terletak pada Lee Tuck. Tahniah diucapkan kepada Natxo Insa dan Hariss Harun yang dilihat cukup tenang mengawal beliau sekaligus melindungi Marcos Antonio yang sememangnya kental mengepalai “back four” JDT.

Ini adalah era baru dimana JDT perlu menggunakan pemain yang sedia ada sehingga masuk jendela perpindahan kedua nanti. Semua pemain dilihat segar dan bersedia diturunkan pada bila bila masa.

Kemenangan ke atas Terengganu melihatkan pemain JDT lebih matang dalam menangani permainan bermagnitud besar. JDT juga berjaya menang di tempat lawan setelah dilihat bergelut sebelum ini.

Pantai Batu Buruk memberikan saya inspirasi dalam membuat penulisan ini. Dari mata penyokong saya berharap pemain menunjukkan semangat juang seperti permainan ini. Kemenangan pasti hadir hasil kerja keras berpasukan.

Kepada rakyat Terengganu terima kasih diucapkan atas layanan yang diberikan. Jangan melayan segala provokasi yang cuba dicetuskan segelintir peminat yang hanya hadir pada perlawanan besar. Kepada penyokong JDT, kita jumpa di Shah Alam minggu hadapan.

Luaskan Kuasamu Johor

Akasyah, Pontian

”Confidence comes from discipline & training…”

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  • 384
    Shares

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*