LEGENDA NOMBOR 19 JDT — LUCIANO FIGUEROA

Luciano Figueroa — Siapa tidak kenal akan kelibat pemain berkepala botak ini. Tandukan beliau sangat ditakuti penjaga gol lawan dan ‘work rate’ beliau yang cukup tinggi membuatkan beliau menjadi pemain yang disegani sama ada di dalam mahupun luar padang.

Walaupun sudah bersara beliau masih mengikuti latihan bersama-sama para pemain. Bukan mudah hendak mencari individu seperti ini yang menyayangi kelab lebih dari segalanya.

Mesra disapa Lucho atau Papa, Luciano Figueroa adalah ikon pemain import Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Hadir pada musim 2014 beliau perlu mengisi ruang besar yang ditinggalkan bintang Sepanyol, Daniel Guiza yang meninggalkan impak besar buat penyokong JDT.

Tidak seperti pemain lain, Lucho terus menemui rentak pada perlawanan pertama Liga Super dan berjaya menjaringkan gol kedua JDT ketika membenam Perak 2-0 di Stadium Larkin. Beliau mengesahkan kehadiran beliau dalam jersi merah biru di hadapan mereke yang percaya.

Bermula dari detik itu, beliau tidak lagi menoleh kebelakang. Gol demi gol dijaringkan dan yang paling diingati adalah beliau sanggup bermain walaupun mengalami kecederaan di kepala dan seterusnya menjaringkan gol kemenangan JDT ketika berdepan Selangor di Stadium Shah Alam yang penuh umpama final.

Doktor pasukan menasihatkan agar beliau dikeluarkan tetapi kerana semangat juang dan mentaliti ingin menang yang kuat beliau bangkit meneruskan permainan dengan kepala berbalut dan akhirnya membawa kemenangan kepada JDT.

 

Mejuarai Liga Super sebanyak dua kali sebagai pemain dari 2014 hingga 2015 dan juara sebagai pengurus pasukan dari 2018 hingga 2020, beliau layak untuk diberikan sanjungan sebagai legenda kelab dan namanya diabadikan di salah satu grandstand Stadium Sultan Ibrahim.

Beliau juga muncul watak penting dalam membantu JDT menjuarai Liga AFC pada 2015. Gandingan beliau bersama pemain tempatan amat baik sekaligus banyak mengajar penyerang muda JDT untuk beraksi dengan lebih baik. Dengan rekod 25 gol dari 40 penampilan ini sudah cukup untuk meletakkan beliau sebagai salah seorang penjaring prolifik JDT.

Selain itu, beliau juga dilantik menjadi Duta JDT kerana nama beliau bukanlah calang-calang dalam dunia bola sepak. Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens bersama pasukan Argentina ini banyak membantu JDT dalam sudut komersil dan hubungan dua hala Johor-Argentina hinggakan mendapat perhatian Duta Besar Argentina ke Malaysia yang sama-sama merasmikan ‘Luciano Figueroa Stand’ tempoh hari.

Jasa dan keringat yang beliau berikan kepada kelab ini sememangnya sukar untuk ditandingi oleh mana-mana individu. Sumbangan anda ini sudah pasti tidak akan dilupakan oleh semua mereka yang terlibat dengan JDT secara langsung mahupun secara tidak langsung.

Mucha Gracias Senõr Figueroa

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply