TEKS WAWANCARA DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR BERSAMA MEDIA

Luciano Figueroa dan Benjamin Mora

“Luciano Figueroa kembali ke Argentina kerana beliau mempunyai tanggungjawab keluarga  beliau. Namun begitu JDT menghormati keputusan beliau dan pintu JDT sentiasa terbuka kepada beliau kerana Luciano adalah ‘Club Ambassador’.

Tugas beliau sebagai Pengurus Pasukan JDT akan diambil oleh Benjamin Mora. Manakala tugas Benjamin Mora sebagai ketua jurulatih akan dibantu oleh dua orang pembantu di mana pembantu ini akan turut fokus kepada tugas kecergasan dan nutrisi setiap pemain secara individu.

Benjamin Mora telah berjaya bermain dengan falsafah yang saya inginkan begitu lama. Boleh dilihat dari kejayaan-kejayaan sebelum ini dan beliau berjaya menjaga keharmonian setiap pemain. Malah beliau memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk bermain. Saya suka dengan cara beliau bekerja . Saya lanjutkan kontrak beliau buat masa ini 2-3 tahun.”

Pencapaian Kelab Semasa 2020

“Saya bersyukur dan berpuashati dengan pencapaian kelab tahun ini apabila menjadi Juara Liga Super dan Piala Sumbangsih walaupun dalam keadaan semasa kelab masakini yang sangat mencabar seperti isu Pandemik Covid-19. Anggaran kerugian kelab tahun ini dianggarkan dalam RM35 juta kesan daripada isu global ini. Saya harap tahun depan jika ada peningkatan dalam ekonomi, JDT akan dapat menjana kembali pendapatan kelab. Isu-isu ini memberi kesan ke atas kestabilan kewangan kelab dan ianya satu dugaan yang sangat besar. Kelab akan lebih berjimat untuk tahun depan.”

Kejohanan AFC Champions League 2020 dan Piala Malaysia 2020

“Saya membuat keputusan untuk menyeimbangkan pasukan untuk kedua-dua kejohanan ini. JDT akan cuba untuk memastikan pemain-pemain yang bertanding di 2 kejohanan ini seimbang. Ini bagi memastikan setiap pemain akan mempunyai masa rehat yang cukup setelah selesai setiap kejohanan. ‘Pemain Bukan Robot’.

Tindakan ini bukan bermaksud JDT tidak menghormati kejohanan ACL atau menganggap kejohanan itu tidak penting tetapi adalah disebabkan kejohanan ini telah banyak kali ditunda ianya akan mengganggu persiapan kelab untuk tahun depan.

Pemain-pemain import dan tempatan akan diseimbangkan. Saya akan memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda buat pertama kali bermain di ACL. Oleh itu keputusan yang paling tepat adalah untuk menyeimbangkan pasukan untuk kedua-dua kejohanan dan JDT akan beri tumpuan sepenuhnya untuk kejohanan ACL tahun depan.

Saya berharap dan berdoa agar situasi Covid 19 ini akan lebih terkawal tahun depan.”

Isu Pemain Baharu JDT

“Diogo akan meninggalkan JDT untuk pulang ke Thailand. Malah awal-awal lagi sebelum ini sewaktu kita menang Liga Super, saya sudah mengucapkan tahniah kepada Benjamin Mora di atas kemenangan dan mendedikasikan kepada keluarga JDT iaitu Luciano Figueroa, Safawi dan Diogo.

JDT akan ada pemain baharu iaitu Camilo Da Silva yang berusia 32 tahun, bermain di Brazil. Saya telah mengikuti pemain ini begitu lama serta berminat dengan cara permainan beliau sama seperti JDT tetapi tidak dapat menandatangani beliau kerana harga yang agak mahal.

Bermula 1 Disember ini pula, Daniel Amir dari Felda United akan bersama JDT secara rasmi dan kemungkinan seorang lagi pemain tempatan. Daniel Amir adalah salah seorang bintang negara dan mempunyai potensi yang sangat besar. JDT boleh memberi beliau peluang yang besar di JDT dan skuad ACL untuk tahun depan.

Felda sebelum ini meminta RM1Juta untuk pemain ini tetapi JDT tidak bersetuju di atas klausa perpindahan ini. Oleh itu JDT menunggu sehingga kontrak pemain ini habis.

Untuk pemain di bahagian lain pula JDT akan serapkan pemain-pemain daripada JDT kerana saya amat berpuashati dengan prestasi pemain-pemain muda sekarang dan mereka akan diberi peluang bersama pasukan utama JDT.

Semua pemain JDT lain akan kekal. Malah pemain-pemain muda lain akan dinaikkan ke JDT. Saya tidak akan membeli pemain-pemain lain buat masa ini kerana kestabilan pasukan amat penting.

Pemain amat berpuas hati dengan kontrak-kontrak baharu mereka kerana semua sedia maklum JDT menjaga kebajikan setiap pemain.

Manakala Diogo pula akan terus bermain di JDT sehingga habis Piala Malaysia sebelum beliau akan kembali ke Thailand. Fernando Rodriguez dari JDTII  pula akan menggantikan Diogo di ACL.”

Isu Padang Stadium Sultan Ibrahim

“Untuk kejohanan Piala Malaysia nanti JDT akan bermain di Stadium Larkin kerana saya tidak berpuas hati dengan prestasi padang di Stadium Sultan Ibrahim. JDT akan buat penambahbaikan padang dan dijangka siap sepenuhnya pertengahan Januari 2021.”

Misi #1Bilion JDT dan Isu Komersial Semasa Kelab

“Kami dalam peringkat terakhir untuk dimuktamatkan bagi memastikan JDT dikenali sebagai kelab bernilai #1Bilion. Ianya di peringkat 75-80%  peringkat akhir. Dijangka semuanya selesai pertengahan tahun depan. Buat masa ini juga, JDT mempunyai  empat syarikat antarabangsa akan menjadi penaja kelab JDT serta melakukan perniagaan di Stadium. Berita ini amat positif apabila JDT mendapat sambutan yang hebat dari syarikat-syarikat luar negara.”

Fungsi JDT II dan Pasukan Akademi JDT

“Tugas dan peranan pasukan ini adalah untuk mengajar pemain dan mengadaptasi cara pasukan utama bermain. Malah mereka diberikan ‘tempoh bermain’ yang cukup. Setelah mereka berjaya mereka boleh diserapkan ke pasukan JDT selepas diberi penilaian oleh Ketua Jurulatih , Sporting Director JDT, Technical Director dan saya sendiri untuk keputusan akhir.

Kita tidak akan desak pemain-pemain ini. Sebagai contoh Afiq Fazail kita tidak pernah desak beliau untuk naik ke JDT secepat mungkin.”

Keadaan Semasa Safawi Rashid

“Saya sering berhubung dengan Safawi dan pemilik kelab di sana untuk memastikan keadaan beliau di sana dijaga dengan baik.

Saya rasa penyokong bolasepak tanahair kena faham dengan proses perpindahan pemain. Pemain kita datang dari ranking dunia yang amat rendah. Apabila pemain kita datang mereka mempunyai pemain-pemain pesaing yang sangat kuat seperti dari Brazil dan Ukraine. Mereka daripada kecil lagi telah diberi pendidikan bolasepak yang lebih tinggi dari negara kita.

Walaupun pemain kita berbakat tetapi mereka perlu masa untuk berkembang dan menghormati proses ini. Konsep pemain di sana sama sahaja di JDT di mana JDT menilai pemain daripada sesi latihan yang dinilai melalui video-video rakaman latihan.”

‘JDT Medical Hub’ dan Gimnasium JDT

“Awal tahun hadapan JDT akan memiliki JDT Medical Hub dan dijangka hujung tahun hadapan pula JDT akan memiliki Gimnasium JDT yang akan dibina berdekatan dengan Stadium Sultan Ibrahim. Gimnasium ini akan dibuka kepada awam di mana ianya disertakan dengan kad keahlian dan jurulatih-jurulatih kecergasan yang terbaik. Ianya salah satu cara saya mempromosi “Healthy Lifestyle’ saya kepada semua.”

Status Hariss Harun

“Hariss Harun masih pemain JDT dan kapten pasukan JDT. Beliau hanya menyambung pendidikan beliau dan masih bermain di JDT. Sewaktu beliau memaklumkan kepada saya, saya menyokong keputusan beliau”

 

Terima Kasih

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

 

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply